Peka Isu Geopolitik Dunia

215

Oleh : Wan Nordin Wan Yaacob

KUANTAN – Memandangkan pelbagai peristiwa dan isu mutakhir ini yang mengheret sama umat Islam, Pwmuda PAS diseru agar sentiasa cakna dan memahami isu serta geopolitik antarabangsa.

Ketuanya Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tragedi pilu pembunuhan ke atas 50 orang jemaah dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu amat berbekas di hati umat Islam.

Kata Ustaz Muhammad Khalil, salah seorang daripada mereka merupakan anak muda berasal dari Malaysia.

Menurut Ustaz Muhammad Khalil, serangan bermotifkan kebencian melampau kepada Islam ini mengejutkan seluruh dunia.

Dewan Pemuda PAS Malaysia berkesempatan menghantar wakil bertemu dengan Mohd Tarmizi Shuib bapa kepada Allahyaram Muhammad Haziq salah seorang syuhada’ di Christchurch bagi menyampaikan ucapan takziah bagi pihak DPPM.

Di kesempatan ini kata Ustaz Muhammad Khalil, pihaknya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada kerajaan New Zealand atas kecemerlangan mereka mengendalikan krisis ini dan atas sokongan serta dokongan kepada masyarakat Muslim di New Zealand.

“Semoga ia menjadi contoh kepada kerajaan lain di dunia,” kata beliau semasa menyampaikan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar DPPM di Bukit Gambang Resorts City di sini hari jni.

Penindasan di Uighur, lambang kejejaman terhadap Islam

Berbeza pula situasi Etnik Islam Uighur di sempadan negara China, kata Ustaz Muhammad Khalil, penindas demi penindasan sedang berlaku terhadap etnik minoriti Islam Uighur.

Katanya, umat Islam yang menghuni Wilayah Xinjiang dinafikan hak mereka mengamalkan ajaran Islam.

Bukan sahaja rumah ibadah umat Islam diruntuhkan malah katanya, mereka dipaksa meninggalkan amalan harian sebagai umat Islam seperti berpuasa dan bersolat.

Selain itu kata Ustaz Muhammad Khalil, isu umat Islam di negara bergolak arab semakin meruncing.

Menurut beliau, pasca ‘Arab Spring’ memperlihat negara umat Islam di tanah arab berdepan dengan pelbagai isu sama ada kestabilan politik dan kemanusiaan.

“Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria yang masih dalam kemelut perang saudara yang berpanjangan.

“Yaman juga masih dalam krisis politik diantara dua puak yang bertelagah yang memangsakan rakyat biasa sejak daripada tahun 2015.

“Di Libya pula masih belum mencapai kestabilan politik yang diharap-harapkan selepas era Gaddaffi apabila terdapat perebutan kuasa antara tiga kumpulan untuk memegang tampuk pemerintahan,” kata beliau.||

(Ikuti Ucapan Penuh Ustaz Khalil)