Pejuang Syria Halau Tentera Rejim

844

Pertempuran sengit melanda Barat Laut Syria pada hari Jumaat selepas pejuang melancarkan serangan balas untuk menghalau pasukan rejim di rantau perang.

Syria dan sekutu Rusia melakukan serangan maut dan tembakan meriam keatas kawasan yang dikawal oleh pejuang daripada kumpulan Hay’et Tahrir al-Sham (HTS).

“Pemberontak melancarkan serangan balas, Mereka membuat kemajuan strategik,” kata ketua balai cerap, Rami Abdel Rahman dipetik Al-Jazeera.

Kumpulan pejuang berkata mereka merampas tiga buah kampung utama di kawasan desa Hama pada Khamis dengan menembak roket kearah beberapa buah kawasan di wilayah terbabit.

Televisyen rejim Syria berkata tentera kerajaan telah menggagalkan serangan pejuang di kampung Tal Maleh dan Jibeen.

Sementara itu, menurut Rami Abdel, serangan udara melanda Idlib dan kawasan berdekatan pada hari Khamis apabila pertempuran meningkat, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang awam terbunuh.

Pemerhati dan kumpulan hak asasi serta penduduk mengatakan, askar kerajaan dan sekutunya Rusia telah melancarkan serangan secara sistematik di kawasan perumahan, hospital, pasar dan infrastruktur untuk memecahkan kumpulan pejuang dan orang-orang yang tinggal di kawasan tersebut terpaksa melarikan diri .

“Tujuannya adalah untuk menghentikan semua perkhidmatan kepada orang awam, ” kata Wasel Aljirk, seorang pakar bedah yang hospitalnya diletupkan dalam serangan itu.

Beribu-ribu orang telah menjadi pelarian dan kebanyakan mereka berlindung di sempadan Turki dari serbuan serangan udara yang membunuh ramai penduduk.