Pejuang Harus Cekalkan Diri Hadapi Penghinaan

310

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU – Kecekalan menghadapi pelbagai tohmahan dan penghinaan ketika menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 lalu membuktikan keredhaan Allah SWT dan diganjari kemenangan yang mengubah pemerintahan Negeri Terengganu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata PRU14 merupakan kali ketiga beliau menjadi calon PAS DUN Jabi yang sebelumnya itu ditangguhkan kemenangan.

Katanya, 9 Mei setahun yang lalu, beliau ditemani ayahanda, bonda dan isteri tercinta serta sahabat seperjuangan yang bersiap sedia di hadapan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Tempinis, Jabi untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap perjuangan yang didokong dengan penuh keyakinan.

“Ini adalah kali ketiga, kad nama calon saya gantung di leher. Saya pekakkan telinga saja dengan penghinaan, ayam 2 kali kalah berlaga nak masuk gelanggang lagi. Kalah kali ketiga mapuh terus!,” ujarnya mengimbau kenangan lalu.

“Saya berada di medan ini dengan cita-cita tertinggi untuk syahid kerana mahu meninggikan agama Allah. Peduli apa dengan penghinaan!,” tegasnya menerusi laman sosialnya

Menurut beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, sebagai pejuang perlulah sentiasa muhasabah diri untuk meningkatkan kualiti kerja di masa hadapan.

Dalam sujud kepada Rabbul Jalil kita merenung kembali dengan penuh keinsafan bagaimana Allah mengatur perjalanan hidup seorang hamba di luar dari percaturan dan perancangan manusia. Kepada Allah kita berserah diri mengadu kelemahan dan mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh,” jelasnya.

“Setahun telah berlalu. Tiada istilah puas hati dan tiada rasa selesa dengan apa yang dicapai. Jauh sekali nak bagi markah untuk diri sendiri,

“Untuk warga Jabi dan warga tani Negeri Terengganu, maafkan hamba atas segala kekurangan dan kelemahan dalam memikul tanggungjawab ini sepanjang setahun yang lalu. Kita akan terus melangkah bersama,

“Ribuan terima kasih kepada semua sahabat seperjuangan yang terus bersama saat suka dan duka,”