Peguam Negara Yang Lemah Patut Dipecat

413

Tommy Thomas tidak henti-henti menghampakan rakyat. Sebelum ini, beliau telah gagal memelihara negara daripada tersilap menanda tangan Statut Rom. Beliau kemudian terburu-buru mengiktiraf UEC dengan mendahului keputusan kerajaan. Saya juga begitu kesal dengan tindakan Peguam Negara memfailkan afidavit mengatakan Arwah Adib mati dipukul sedangkan keputusan inkues masih belum dikeluarkan.

2. Pada masa yang sama, trend menggugurkan pendakwaan dilihat semakin menjadi-jadi. Beliau juga telah dikritik hebat kerana memberi arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Siti Aisyah yang dituduh membunuh Kim Jong Nam sedangkan permohonan Doan boleh pula ditolak. Sudahlah Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli turut dilepaskan hanya dengan melalui surat representasi. Sekarang, tertuduh yang membunuh pembantu rumah warga Indonesia juga turut dilepaskan walaupun terdapat banyak bukti kukuh berkaitan dengan penderaan.

3. Paling memualkan apabila Peguam Negara dalam kenyataannya berjanji untuk menyiasat keputusan Mahkamah yang melepaskan tertuduh dalam kes pembuhuhan amah tersebut. Tanpa arahan daripada Peguam Negara, tertuduh tidak mungkin dapat dilepaskan tanpa dibebaskan. Jadi ianya terang-terang satu penipuan kalau Peguam Negara berjanji untuk menyiasat arahan Peguam Negara sendiri untuk melepaskan tanpa dibebaskan. Alasan tidak tahu-menahu tentang penarikan kes oleh pihak pendakwaan turut digunakan ketika kes Lim Guan Eng digugurkan awal tahun ini.

4. Peguam Negara seperti tidak faham fungsi dan peranan sebagai Peguam Negara yang perlu membuat keputusan dengan meletakkan keutamaan terhadap kepentingan negara dan keadilan kepada masyarakat awam. Beliau dilihat terbawa-bawa dengan peranannya sebagai peguam swasta yang perlu mengikut kehendak “client”. Keputusan-keputusan yang memihak kepada tertuduh juga boleh menimbulkan prasangka orang awam tentang wujudnya campur tangan luar.

5. Bukan setakat prestasi, bahkan moral beliau juga banyak dipertikaikan. Pengumuman untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan ketika pilihan raya kecil Cameron Highland yang umum tahu ianya untuk memancing undi orang asli sangat jelas motif politiknya. Beliau juga tidak langsung meminta maaf susulan insiden menari dengan Siti Kassim dan Ketua Hakim Negara sedangkan ianya telah mencabul prinsip konflik kepentingan.

6. Tommy Thomas ternyata sangat lemah untuk meneruskan jawatan ini. Setelah begitu banyak kerosakan yang dilakukan oleh Peguam Negara, ianya tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Keputusan-keputusan yang tidak masuk akal begini bukan sahaja menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dalam proses undang-undang, malah turut mencemarkan imej dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa. Saya mendesak Tommy Thomas perlu dipecat supaya kerosakan-kerosakan yang dibuat olehnya boleh dihentikan dengan segera.

“Islam Memimpin”

Haji Ahmad Amzad Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terenggganu
22 April 2019/ 16 Syaaban 1440H