Pasukan Umno Turut Sertai Futsal Rebut Piala Ketua Pemuda

1331

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang 2019 berlangsung meriah dengan turut disertai pasukan daripada parti Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Marang (DPPKM), Yusof Abdul Hadi berkata, walaupun ia adalah suatu persaingan, beliau mahu para peserta bermain sebagai satu perlawanan persahabatan

“Saya kira kejohanan yang berlangsung ini adalah perlawanan persahabatan. Dan inshaAllah kita (DPPKM) akan menganjurkan lagi kejohanan-kejohanan seperti ini bagi mengeratkan lagi hubungan tali persaudaraan kita sesama Islam,

“Kali ini kita (DACS) mendapat penyertaan yang luar biasa, tidak seperti kejohanan sebelum-sebelum ini iaitu lebih terbuka. Kita dapati kejohanan ini juga disertai oleh barisan pemain-pemain dari UMNO DUN Bukit Payung,” jelasnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejohanan tersebut yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila di sini. semalam.

Tambahnya, ia juga menggalakkan gaya hidup sihat serta platform untuk memperkenalkan DACS sebagai alternatif yang boleh membawa anak muda memulakan langkah kanan untuk pergi lebih jauh.

Sebanyak 60 pasukan mengambil bahagian dalam program anjuran Department Of Art Sport (DACS) yang berlangsung di gelanggang futsal bersaiz ‘standard’ antarabangsa.

Sehubungan itu, Ketua DACS Marang Ismail Sephia berkata, semua pemain bermain dengan penuh semangat kesukanan demi menjulang Piala Pusingan Ketua Pemuda DPPKM 2019.

Menurutnya, dalam pertarungan sengit itu, pasukan CG Jaya FC berjaya menewaskan Jerung FC dengan jaringan penalti 3-1 yang berjaya menempatkan masing-masing di tempat ketiga dan yang keempat.

“Manakala, Wakaf Mempelam FC mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya muncul juara kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda (DPPKM) 2019 selepas menumpaskan Password FC 3-0,

“sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai yang ditaja oleh DACS sebanyak RM2000,00 diiringi dengan medal emas dan piala,” ujarnya.

Aksi ‘Grand Final’ kata beliau, dihadiri lebih 200 penonton yang terdiri daripada Ketua DACS Negeri Terengganu, Zulkaramie Salleh, barisan kepimpinan DACS Kawasan Marang, AJK DPPKM 2019 dan masyarakat setempat.