PASTI Pendidikan Awal Terbaik

188

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Pendidikan awal anak-anak sangat penting dalam mencorak keperibadian mereka sejak kecil dan Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dilihat menepati untuk membantu mencapai hasrat tersebut.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata PASTI adalah salah satu pilihan terbaik ibubapa hari ini untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak seawal usia mereka.

“Kita berterima kasih kepada ibubapa yang memilih PASTI untuk menghantar anak- anak sebagai pendidikan awal persekolahan.

“PASTI bukan hanya ada di Terengganu tapi seluruh Malaysia bahkan silibus PASTI digunapakai di luar negara antaranya Filipina dan Sudan,” katanya.

Ustaz Wan Sukairi berkata demikian ketika merasmikan Program Bersama Ibubapa PASTI Dewan Undangan Negeri(DUN) Wakaf Mempelam di Dewan Serbaguna Kampung Panji di sini pada 10 Januari.

Program bermula seawal 8. 00 pagi itu telah dihadiri seramai hampir 200 orang ibubapa bersama-sama anak-anak mereka.

Sementara itu, seorang pengurus PASTI, Abdul Wahid Idris, 61 yang sempat ditemui melahirkan rasa syukurnya kerana ramai anak-anak didik pusat pendidikan pra-sekolah berkenaan telah berjaya setanding pelajar tadika biasa yang lain.

“Saya menerajui PASTI pada tahun 1978 pada masa tu dengan nama Taski Darus Salam Losong Haji Mat Shafie, sekarang dah jadi PASTI Darus Salam,” katanya selepas menerima sijil penghargaan di antara PASTI paling lama di dalam negeri Terengganu di majlis tersebut.