PASTI Nur Hidayah Tambah Pelajar Tahun Hadapan

318

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Felda Jerangau akan menambah kemasukkan pelajarnya bermula tahun hadapan daripada 35 kepada 52 pelajar.

Pengerusinya, Roslan Jusoh berkata, ianya akan memenuhi permintaan ibu bapa di Felda Jerangau yang selama ini berminat untuk menghantar anak mereka ke PASTI berkenaan.

“Selama ini kita tolak kerana kelas kecil dan juga diatas faktor kekurangan guru.

“Jadi kita bimbang, takut harapan emak dan ayah pelajar tidak kesampaian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Intifal Pelajar PASTI berkenaan yang diadakan di Dewan Sivik Felda Jerangau di sini semalam.

Katanya, masalah kelas telah dapat diselesaikan apabila Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman sanggup mengeluarkan sedikit peruntukkan bagi membina kelas baharu.

Dengan demikian jelasnya, PASTI akan dapat memenuhi kehendak masyarakat.

“Terima kasih kepada ibu bapa yang memilih PASTI untuk anak-anak mereka di dalam mendapat pendidikan yang baik walaupun memerlukan belanja (tinggi) untuk yuran dan sebagainya,” ujar beliau yang teruja untuk pengambilan pelajar baharu tahun depan.