PASTI Kekal Relevan Sebagai Terbaik

656

Oleh : Khairan Asmawi & Adli Mohamad.

DUNGUN – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diyakini akan kekal relevan sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak yang utuh dan terbaik.

Pengarah Pasti Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong berkata,pendaftaran PASTI tahun ini dijangka akan mendapat sambutan yang mengalakkan serta diyakini akan berlaku pertambahan murid.

Beliau turut yakin bahawa ianya berada di landasan yang memenuhi pendidikan yang terbaik.

“Alhamdulillah, setakat hari ini, pihak PASTI memang melihat adanya persaingan dari tadika-tadika, baik kerajaan mahupun swasta.

“Ianya merupakan satu persaingan yang sihat, dan membantu juga pihak pengurusan PASTI untuk merangka satu ko-kurikulum pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wakil Buletin Online, ketika berkunjung ke PASTI Al-Husna, Al- Muktafi Billal Shah pada Selasa, 23 Oktober.

Menurut beliau mutu latihan akan dipertingkatkan, agar memenuhi dunia pendidikan hari ini disamping buku catatan prestasi disediakan kepada guru, ditingkatkan dari sudut pencapaian murid.

“(Di samping itu) Sebahagian guru PASTI telah mengikuti diploma pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan guru dapat memberi komitmen yang terbaik dari guru.

“(Ianya juga) agar PASTI dapat menghadapi cabaran yang agak menarik untuk kekal menjadi pilihan, bagi menghadapi cabaran yang agak menarik dari sekolah-sekolah pendidikan awal kanak-kanak swasta yang berkembang subur,” ucapnya.

Antaranya lagi, tambah beliau ,  institusi pra-sekolah itu telah cukup berpengalaman dan akan sentiasa menjadi pilihan utama hari ini.

” Yang dilihat ibu-bapa masa kini semakin sedar betapa pentingnya pendidikan agama Islam di usia awal kanak-kanak”, katanya lagi.