PASTI Kekal Ideal Dan Ungguli Kepercayaan Ibu Bapa

1373

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ar Rahman terus kekal ideal dan mengungguli kepercayaan ibu bapa sekitar Kertih, di sini, sebagai insitusi pendidikan awal untuk anak-anak mereka.

Timbalan Pengerusi PASTI Ar Rahman, Wan Faisal Bin Wan Abdullah berkata, ianya untuk melahirkan insan soleh melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting.

katanya, misi Pasti adalah meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

“Seramai 50 anak pelajar berusia empat tahun, mula menjejakkan kaki ke sekolah ini sebagai pelajar baharu kami.

“Mereka dibahagikan kepada dua kelas, dan seperti tahun-tahun sebelum ini kami mengutamakan pelajar yang mendaftar awal kerana kekurangan kelas.

“Keseluruhan pelajar kami kini mencapai jumlah 195 orang, bermula dari umur empat hingga enam tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media yang hadir meninjau suasana sesi baharu persekolahan yang memasuki hari ke tiga hari ini semalam.

Sehubungan dengan itu, Guru Hal Ehwal Pelajar PASTI Ar Rahman, Cikgu Rohana Muda berkata, saban tahun PASTI berkenaan mendapat kepercayaan dan reputasi baik dari ibubapa walaupun terdapat banyak tadika atau insitusi pendidikan awal kanak-kanak lain sekitar Kertih.

Menurut beliau, Kurikulum PASTI terbukti terbaik apabila murid-murid lepasan PASTI memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam ujian ketika berada di sekolah rendah.

“PASTI Ar Rahman juga ada program Pra Tahfiz yang bermatlamat untuk memperkasakan kaedah membaca al-Quran kepada pelajarnya.

“Satu lagi tarikan PASTI Ar Rahman ialah ‘PASTI Plus’ iaitu pusat transit untuk kemudahan ibubapa yang bekerja hingga lewat petang.

“Dengan 50 pelajar, pusat transit kami beroperasi dari jam 12.30 tengahari hingga pukul 05.30 petang, dan pengisian lebih kepada bacaan Al Quran, belajar solat dan tingkatkan kemahiran membaca.

“(Dan) terbaru kami ada kemudahan pusat jagaan kanak-kanak atau taska untuk kemudahan 20 orang kakitangan PASTI Ar Rahman,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang banyak membantu PASTI Ar Rahman.

“Sokongan beliau menjadikan kami kekal bersemangat dan sangat mengharapkan PASTI Ar Rahman terus menjadi pilihan utama ibu bapa sebagai platform utama pendidikan awal anak-anak mereka,” tambahnya.