PASTI Kawasan Setiu Idam Juara Alam Ria

278

Oleh : Ariss Alias

SETIU – PASTI Kawasan Setiu berazam menjuarai pertandingan Alam Ria Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Terengganu pada bulan hadapan.

Pengarahnya, Suharmizi Hamzah berkata, beliau yakin pasukan kawasan tersebut mampu memberikan cabaran sengit kepada peserta lain dan tidak mustahil untuk bergelar juara.

“Melihat usaha guru-guru yang berterusan melatih mereka ini dengan penuh bersemangat, saya yakin kebolehan mereka akan meningkat dan menjadi lebih baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari Jumaat, 2 Ogos.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah PASTI negeri, Syamri Abdul Razak berkata, Alam Ria PASTI peringkat negeri dan kebangsaan akan diadakan masing-masing pada 14 September di Rusila, Marang dan 28 September di Johor.

“Peserta-peserta yang menang pada hari ini masih mempunyai masa yang panjang lebih kurang satu bulan lebih untuk membaiki mutu persembahan bagi bersaing di peringkat negeri dan seterusnya,” ujarnya.

Tambah beliau, Alam Ria PASTI Kawasan Setiu yang diadakan di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim,Guntung Luar mempertandingkan 10 buah acara yang disertai peserta dari pelajar PASTI Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, DUN Permaisuri, DUN Langkap dan DUN Batu Rakit.

DUN Batu Rakit mengungguli pertandingan dengan memenangi johan bagi acara azan, pidato dan sajak kategori lelaki dan perempuan. DUN Langkap pula menjadi johan bagi acara Kalam Jamaie, khutbah dan hafazan kategori perempuan.
Acara bercerita dan hafazan lelaki dimenangi peserta daripada DUN Permaisuri dan peserta DUN Jabi menjuarai acara nasyid.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir ketika merasmikan majlis penutup berkata, Jabatan PASTI yang berada di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS terbukti sangat berjaya dalam mendidik kanak-kanak.

“Orang (ahli) Umno sendiri pun hantar anak ke PASTI, bahkan orang bukan Islam juga ada yang menghantar anak mereka ke sini.

“Ini membuktikan pendidikan di PASTI setaraf dengan tadika dan pra-sekolah yang mendapat bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Parlimen Setiu mengucapkan syukur atas program ini yang menonjolkan kepada masyarakat bagaimana PASTI sebagai sebuah institusi pendidikan mengurus sistem pendidikan awal kanak-kanak di peringkat pra-sekolah.

“Ini bermakna, PASTI bukan sahaja tertumpu kepada subjek agama semata-mata bahkan kita dedahkan pelajar kepda aktiviti kokurikulum yang bermanfaat kepada mereka.

“Tahniah diucapkan kepada pengurusan PASTI di peringkat Negeri dan kawasan atas penganjuran program ini,” tambah beliau lagi.