Pasca Kemenangan : Pemuda Perlu Ubah Pemikiran Dan Gaya Kerja

510

Oleh : Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU – Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Haji Yahaya Ali berkata di saat PAS sedang menjadi parti yang memerintah di negeri ini, pemikiran dan cara bekerja mestilah berbeza.

Katanya, ia tidak lagi sama sewaktu menjadi pembangkang dulu yang boleh melaungkan apa sahaja.

“Apabila kita jadi kerajaan, kita bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang kita laung selama ini. Kita harus membuktikan kepada masyarakat bahawa apa yang selalu kita laungkan sebelum kita memerintah hendaklah dipertanggungjawabkan,

“Kita akan lakukan lebih baik dari pemerintah sebelum ini serta menunjukkan cara kita memerintah berlandaskan Islam. Jagalah kerajaan yang kita ada ini dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakan Islam secara keseluruhannya.” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili BPPNT di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ke 50 yang berlangsung di Hotel Permai Inn, di sini, semalam..

Namun, beliau juga mengingatkan, walau sehebat manapun orang muda, mereka mesti merujuk kepada orang lama untuk mengambil ‘butir mutiara’ daripada mereka.

Beliau turut melahirkan rasa sungguh bertuah, kerana saat berlangsungnya muktamar kali ini ini, PAS sudah menjadi parti memerintah.

“Hal ini merupakan kekuatan dan juga satu tanggungjawab untuk menyempurnakan dan mentadbir dunia ini dengan menegakkan Islam,” tambahnya