Pasca Banjir: Jabatan Amal Marang Istiqamah Terus Membantu

190

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Jabatan Amal Malaysia di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) mula mengadakan misi pembersihan setelah banjir beransur surut semenjak dua hari lepas.

Ketua DPPKM, Yusuf Abdul Hadi berkata, kekuatan Unit Amal Marang yang berpusat di setiap DUN itu berada dalam posisi siap sedia bagi membantu menyediakan keperluan mangsa bencana.

“Berikutan peralihan Monsun Timur Laut yang kita telah hadapi beberapa hari lepas, kita sudah merancang sebaiknya dari segi persiapan dan operasi gotong royong membersih rumah penduduk yang terlibat dengan banjir.” katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan mangsa banjir di SK Rusila, semalam.

Tambah beliau, memahami keadaan mangsa memerlukan tenaga yang ramai dalam usaha membersih kediaman mereka, pihaknya turut menguar-uarkan khidmat yang ditawarkan unit amal di media sosial.

“Insya-Allah, sebaik sahaja kita mendapat makluman tenaga kita diperlukan, kita akan terus buat pembersihan kawasan rumah yang telah dimasuki air tanpa kompromi dan mengenal sesiapa,” tambah beliau.

Penduduk Marang yang terlibat dengan kejadian banjir baru-baru ini sekiranya memerlukan bantuan bagi kerja-kerja pembersihan rumah dan sebagainya boleh menghubungi Ketua Komandan Jabatan Amal Malaysia Marang, Izuha Kamal di talian 0196138614.