PAS Tidak Perlu Proaktif Dalam Kerjasama Pembangkang

276

KUALA NERUS – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menyarankan agar kepimpinan parti meletakkan Islam sebagai asas utama kerjasama politik dengan mana-mana pihak.

Wakil dewan itu Ustaz Zulkarnain Hassan berkata,  kerjasama itu juga mesti bertujuan untuk mengukuhkan barisan pembangkang di samping ia bertujuan dakwah.

Katanya,  PAS tidak perlu lebih dahulu mendekati mereka yang mahu mengadakan kerjasama tetapi mereka perlu menemui PAS terlebih dahulu.

“Mereka perlu menemui PAS bukan…….PAS nampak sangat nak berbaik dengan mereka, ” katanya ketika berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS,  Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Muktamar Tahunan PAS Ke 64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini 16 September.

Sebelum itu dalam Pilihan Raya Kecil Seri Setia dan Balakong Barisan Nasional (BN)  dan PAS menonjol mengadakan kerjasama untuk membantu calon pilihan raya masing-masing.

Pada umumnya,  kepimpinan PAS merestui kerjasama itu bagi tujuan mengukuhkan gerakan pembangkang di peringkat parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Sementara itu, DUPP juga menyarankan tarbiyyah di perkasakan di semua peringkat kerana ia menjadi teras gerak kerja parti.

Ustaz Zulkarnain berkata buku-buku tarbiyyah perlu diselaraskan di semua peringkat bagi melaksanakan saranan Tuan Guru Presiden.

Serentak itu DUPP,  mengucapkan syabas kepada Lujnah Tarbiyyah dan Kepimpinan PAS Pusat yang dipimpin oleh Timbalan Presiden,  Dato’ Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man kerana berusaha memperkasakan tarbiyyah.