PAS Tidak Gadai Prinsip

322

Oleh : Adli Mohamad

KUALA NERUS – Kerjasama yang dijalinkan diantara PAS dan UMNO sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional tidak ‘terpelanting’ daripada prinsip dan dasar Islam yang diperjuangkan.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hussain Awang, malah katanya taawun yang dijalinkan adalah didalam perkara ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Taala (SWT) dengan istiqamah.

“(Juga) didalam melaksanakan Islam dan menegakkannya di bumi Allah Taala.

“Bukan untuk bersama didalam perkara dosa dan juga permusuhan, pendekatan diambil dengan memastikan titik persamaan, dan pada masa yang sama menangani perbezaan secara fleksibel (ataupun) secara bijaksana,” jelasnya.

Beliau berkata demikian, semasa berucap pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, di sini pada Sabtu 5 Oktober.

Menurutnya titik persamaan diantara PAS dan UMNO adalah pada ungkapan dua kalimah Syahadah walaupun berlainan ideologi.

Ktanya, PAS telah mempunyai pengalaman bertahaluf dan bertaawun dengan mana-mana parti semenjak sekian lama, dilihat tetap mempertahakan prinsip dan dasar perjuangan Islam semenjak mula diasaskan.

“Kita nak mengorak langkah (bermula) pada 1 Oktober baru seminggu (tempohnya) untuk mengadakan pertemuan dan menjalinkan silaturrahim dengan UMNO.

“Kita wujudkan pertemuan ini dan telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelaras bersama di wakili oleh tujuh orang daripada setiap parti,” ucapnya.

Tambah beliau, PAS akan diketuai oleh Timbalan Pesuruh Jaya PAS 111, Dr. Alias Razak, timbalannya ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Wan Shukairi Wan Abdullah serta wakil-wakil Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, serta yang telah dilantik.

Justeru itu beliau berharap agar mereka yang dilantik dan diberi amanah berperanan menyemarakkan kerjasama tersebut bagi menyemarakkan serta merealisasikan Piagam Muafakat Nasional di Peringkat Negeri Terengganu.