PAS Terengganu Siap Sedia Hadiri Himpunan Penyatuan Ummah

237

KUALA TERENGGANU – PAS negeri Terengganu telah bersiap sedia untuk turun ke ibu kota Kuala Lumpur bagi menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 September 2019 ini.

Ketua Penerangannya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peristiwa besar itu akan memberi kesan yang hebat kepada ummah seluruhnya.

“Insya Allah pada 14 September, satu sejarah besar bakal berlaku di bangunan PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) dimana satu piagam akan ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti, Umno dan PAS.

“Kita menganggap ini adalah satu titik pertemuan yang paling bersejarah dalam negara dan kita mengharap ia akan memberi impak yang hebat kepada Islam, negeri dan negara kita serta umat seluruhnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Harap TV disini, semalam, Rabu, 11 September.

Menurutnya, kesan penyatuan di atas titik Islam antara PAS dan Umno juga akan memberi kesan kepada bangsa dan kaum lain di negara ini.

“Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain di Sabah, Sarawak juga turut mendapat tempias daripada penyatuan ini.

“Tidak betul kalau ada orang kata penyatuan PAS dan Umno akan memberi kesan negatif kerana asas kepada penyatuan ini adalah ummah (rakyat) yang majoriti dalam negara ini,” tegasnya.

Oleh itu, katanya, penyatuan itu akan mengurangkan titik bengit dan isu-isu yang akan membawa kepada kestabilan politik di negara ini.

Justeru itu, beliau menyeru agar semua rakyat Terengganu beramai-ramai untuk sama-sama hadir dan menyaksikan program yang bakal mengubah langskap politik Malaysia itu.