PAS Terengganu Pertahan Enam Kerusi Parlimen

874
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Oleh : Baity Abdul Latif

DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia(PAS) Negeri Terengganu beriltizam akan mempertahankan enam kerusi parlimen yang telah dimiliki sejak Pilihan Raya Umum(PRU) 2018 lalu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai salah sebuah parti yang menjadi komponen kepada Perikatan Nasional, PAS perlu bijak untuk berdepan dengan pelbagai latar belakang rakan parti dengan ideologi berbeza.

“Sebagai ketua pasukan perunding yang akan berunding dengan UMNO dan BERSATU, saya akan memastikan supaya enam kerusi parlimen kekal milik PAS Terengganu, insyaAllah”, tegasnya.

Mantan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata demikian di dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun kali ke 61 di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka, di sini pada 18 Julai.

Beliau turut mengingatkan situasi yang dihadapi oleh parti-parti politik pada hari ini adalah berlainan dari suasana PRU pada tahun 2018 yang lalu disebabkan muafakat politik.

“Kebijaksanaan perlu dilaksanakan apabila kita berdepan dengan bermacam latarbelakang, ideologi, rasa hati yang berbeza dalam rakan parti yang membentuk kerajaan campuran.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, tidak semua orang mendasari perjuangan PAS.

“Maka sikap toleransi, dan tegas perlu disesuai dan ditimbang-timbangkan dengan ilmu dan seninya yang tersendiri supaya parti berjaya menjadi anggota kerajaan yang berkesan dan diredhai oleh Allah SWT.

“Siapa yang bakal menjadi calon dan jumlah kerusi mestilah diserahkan kepercayaan kepada pimpinan. Persoalan parlimen mana, berapa kerusi dan siapa calon perlulah diserahkan kepada kepimpinan untuk menentukan. Di sini, konsep wala’ dan thiqah kepada kepimpinan terutamanya kepada Presiden PAS akan kita buktikan.

” Sikap toleransi juga perlu dipertimbangkan oleh pimpinan dan ahli agar PAS menjadi parti yang berkesan kepada rakyat dan seterusnya diredhai Allah SWT,” ujarnya.