PAS Terengganu Berhasrat Gerak Muafakat

718

Oleh ; Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menyokong usaha untuk merealisasikan kerjasama antara Umno dan PAS sekaligus langkah-langkah ke arah kemuafakatan itu akan diambil perjalanan sehingga ke peringkat akar umbi.

Pesuruhjaya PAS Terengganu yang dilantik semula, Dato’ Haji Husain Awang berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada apa-apa rundingan atau komitmen di antara kedua-dua belah pihak sama ada PAS atau Umno negeri Terengganu.

“Oleh kerana perkara ini menjadi satu persetujuan bersama di peringkat parti dan telah pun diputuskan oleh muktamar Tahunan PAS di Pahang baru-baru ini maka langkah-angkah ke arah itu akan diambil perjalanan.

“PAS peringkat negeri akan bersama-sama dengan PAS Pusat menyokong serta akan memastikan bahawa kerjasama itu berlaku bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat akar umbi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Paya Bunga Hotel di sini hari ini, 7 Julai.

Menyentuh soal perlantikan sebagai Pesuruhjaya PAS negeri beliau mengucapkan terima kasih atas perlantikan itu.

“Apa jua perasaan yang ada tetapi yang paling utamanya ialah ucapan terima kasih kepada PAS Pusat yang masih lagi memberi keyakinan dan kepercayaan kepada saya di atas kemampuan yang terhad dan telah ditunjukkan dalam tempoh dua tahun yang lalu.

“Sebenarnya perlantikan ini tanpa dirujuk kepada saya terlebih dahulu, barang kali juga di atas asas menilai dari sudut kemampuan yang ada.

“Satu sahaja kelebihan yang ada pada saya iaitu umur yang tua dan perlu dihormati oleh semua pihak. Selain dari itu ada kelebihannya pada orang lain” ujarnya.

Mengenai perancangan masa depan, Dato’ Husain berkata, tugas yang paling besar ialah tugas mempertahankan kemenangan PAS di Terengganu.

Di samping itu juga, untuk mempertingkat prestasi dan keupayaan jentera di semua peringkat serta memperkemaskan seluruh organisasi parti dan pilihanraya.

“Dari segi perancangan untuk masa depan parti ini, sudah tentu sebagaimana yang diramalkan oleh pelbagai pihak, Pilihanraya Umum (PRU) ke-15, akan berlaku dalam tempoh yang terdekat.

“Penggal pemerintahan kerajaan pusat yang ada ini dikatakan sebagai penggal paling pendek dengan isu-isu yang berbangkit di semua peringkat.

“Jadi, kalaulah umur kerajaan yang ada ini pendek, pilihanraya akan dipanggil dalam masa yang singkat sudah tentu PRU15 ini masih lagi sempat dengan saya sebagai Pesuruhjaya,” katanya.

Untuk perlantikan baharu kepimpinan peringkat perhubungan beliau membayangkan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk membuat ‘lineup’ jawatan-jawatan utama parti.

“Saya perlu masa yang agak selesa sedikit untuk membuat ‘lineup’ tentang jawatan-jawatan utama parti termasuk bahagian pengurusan iaitu dewan harian dan juga beberapa perlantikan lain, dijangka perlu dalam tempoh sekurang-kurang dua minggu,” tambahnya lagi.