PAS Telemong Santuni Orang Asli

766
Mohd Safari sampaikan sumbangan kepada masyarakat orang asli

Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU – Petugas Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bersama Badan Aktivis Kemanusiaan Iman Care, Team 4×4 PAHAT dan Pemuda DUN Telemong melalui pengalaman berbeza kerana dapat menyantuni masyarakat Orang Asli.

Program Tautan Kasih bersama masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, semalam, bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli di samping membina persaudaraan antara badan kerajaan itu dengan masyarakat tersebut.

Pengerusi Majlis Tindakan PAS DUN (MTD) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, program tanggungjawab sosial itu bertujuan mendekati masyarakat berkenaan dengan pelbagai aktiviti dijalankan.

“Program kali pertama yang dianjurkan ini menyasarkan seramai kira-kira 140 ketua isi rumah dan lebih kurang 600 orang penduduk di kampung berkenaan.

“Kita juga ingin membantu meningkatkan kesedaran mereka terhadap aspek pendidikan, kesihatan, kebersihan dan kerohanian kepada masyarakat Orang Asli,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah Mohd Safari lagi, selain dengan komuniti Orang Asli, program itu juga dapat membina hubungan lebih kukuh antara Pusat Khidmat de­ngan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) setempat.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah, Penghulu Mukim Jenagor, Effy Hamsha, Pengerusi IMAN Care, Ustaz Nasrun Abdullah, Pengerusi PAHAT 4×4, Mhd Shariff Jusoh dan Pegawai JAKOA Sungai Berua, Ghazali Ngah.