PAS Sokong Tindakan Tidak Bantu Peminjam ‘Along’

1041

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – PAS menyokong tindakan agensi kerajaan yang bertegas tidak akan membantu mereka yang terlibat dengan perbuatan haram, membuat pinjaman kewangan dari ‘Along’.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman berkata, diantara alasan yang diberikan pihak berkenaan ialah kerana, ianya bertentangan dengan syarak dan membawa kepada riba.

“Jelas dari sudut hukumnya haram dan tidak patuh syariah. Itu diantara sebab mereka tidak akan tampil membantu.

“Dan pula membawa kepada kemudaratan yang membinasakan kerana mereka yang gagal bayar hutang tersebut, pada kebiasaanya akan diancam, diugut dan sebagainya,” jelasya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, semasa hadir pada program Taklimat Agensi bersama Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) dan Ahli Jawatankuasa Masjid, DUN Bukit Besi, pada Selasa 12 Mac.

Oleh itu, beliau menyarankan agar mereka yang telah terlanjur, bertaubat kepada Allah selain mungkin menerima penyelesaian hutang sebahagian daripada pihak tertentu.

“mereka yang terjebak akan dibagi bantuan modal untuk dijadikan pusingan modal, dengan bantuan berkenaan terpulang pada dia nak bayar hutang atau sebagainya,

“ianya tidak diistilahkan sebagai bantuan untuk keluar dari bebanan Along,”jelasnya.

Menurut Haji Ghazali, apabila menghadapi kesulitan hidup, orang yang beriman hendaklah membuat pertimbangan yang sewajarnya serta berjumpalah dengan pihak atau agensi yang disahkan oleh kerajaan.

“Jangan cari jalan mudah yang akhirnya membawa mudarat dan apabila berada didalam kesulitan banyakkan berdoa kepada Allah, dan lakukan solat hajat dan munajat meminta petunjuk agar dapat dikeluarkan dari kesulitan.

“Allah akan sentiasa menguji hambanya, mangikut kadar keupayaannya. Elakkan dari Along, Insya-Allah, akan ada pertolongan dari Allah, dimana Allah dengan sifat penyayang dan pengasih tidak sesekali akan membiarkan hambanya dalam kesusahan,” tegasnya