PAS Sokong Penuh Penyertaan Bersatu ke Dalam Muafakat Nasional

207

PAS menyokong penuh keputusan Parti BERSATU untuk menyertai Muafakat Nasional yang diasaskan oleh UMNO dan PAS yang genap usia satu tahun pada 14 September 2020.

2. PAS yakin penyertaan BERSATU akan memantapkan lagi Muafakat Nasional yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal dan isu-isu berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.

3. PAS juga yakin gandingan parti-parti UMNO, PAS dan BERSATU bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar “Melayu Raya”, dan sekaligus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia serta sejarah dan pengalaman panjang kita bersama.

4. Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan ini pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya.

5. PAS meyakini gabungan bersepadu kepimpinan Muafakat Nasional yang akan diterajui oleh Presiden UMNO, PAS dan BERSATU merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 16 Ogos 2020