PAS Seberang Takir Mengalukan Pembinaan Pasar Terapung

316

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU- PAS DUN Seberang Takir mengalu-alukan kerajaan negeri untuk mewujudkan Pasar Terapung sekitar pesisir sungai Lembah Takir.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD)nya, Ustaz Zakaria Dagang berkata, ia akan menjadi pemangkin pada pembangunan DUN tersebut.

Katanya, kawasan tersebut menjadi pelengkap ‘hotspot’ kepada pelancongan negeri Terengganu memandangkan lokasi tersebut terletak berdekatan jambatan angkat (Drawbridge).

“Projek Pasar Terapung Seberang Takir telah dipersetujui untuk dilaksanakan sebagai yang pertama di negeri ini. Kawasan Tebing Tinggi merupakan lokasi ketiga sebagai tapak yang dicadangkan.

“Projek ini dijangka akan menjadi satu lagi tarikan baharu dalam sektor pelancongan di negeri ini, khususnya bagi kawasan Seberang Takir.

“Ia diharapkan akan menjadi satu lagi sumber ekonomi kepada penduduk,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media, semalam.

Menurutnya, Sekretariat Pasar Terapung Seberang Takir bersama Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Nerus melakukan lawatan ke tapak cadangan Pasar Terapung Seberang Takir di Taman Rekreasi Tebing Tinggi, Seberang Takir pada hari Rabu, 1 Januari yang lalu.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pegawai Daerah Kuala Nerus yang juga selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Nerus, Haji Ariffin Abdullah, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, pegawai-pegawai Pejabat Daerah Kuala Nerus, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia serta wakil MPKK setempat.