PAS Sasar 15,000 Ahli Baharu Hujung 2018

935

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mensasarkan keahlian baharu seramai 15000 bermula hari ini sehingga akhir tahun 2018 bagi semua kawasan parlimen di seluruh Terengganu.

Angka itu tidak mustahil untuk dicapai kerana daripada bacaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu banyak undi yang diterima PAS mengatasi jumlah keahlian khasnya terutama kawasan DUN dan parlimen yang dimenangi oleh PAS.

Di Kemaman contohnya, terdapat seramai lebih 100,000 pengundi berdaftar yang turun mengundi pada PRU lepas, sedangkan ahli PAS di kawasan Kemaman hanyalah 12,000.

Tetapi PAS berjaya menguasai tiga DUN dan Parlimen tersebut.

Sasaran ini dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Alghazali Abu Bakar ketika memberikan ucapan dalam program Taklimat Isu Semasa Dan Pemerkasaan Parti PAS Kawasan Kemaman.

“15000 ahli baharu adalah tidak mustahil bagi kita mencapainya.

“Contohnya Kemasik, dapat lebih 9000 undi sedangkan ahlinya hanya kurang daripada 4000.

“Begitu juga dengan Air Putih, bukan DUN sasaran menang ketika PRU dahulu, yang ada 14 Unit Peti Undi (UPU), PAS menang empat sahaja tetapi mendapat jumlah undi melebihi 10 UPU yang lain.

“Jadi siapa yang undi kita? Di mana mereka? Inilah tugas kita untuk mencari dan mengajak mereka bersama-sama menjadi ahli PAS,” kata Alghazali di hadapan kira-kira 450 ahli PAS yang terdiri daripada pucuk pimpinan cawangan dan sayap parti dalam Kawasan Kemaman.

Jelas beliau lagi, tindakan ini adalah sebagai satu pengalaman daripada apa yang disifatkan kelemahan ketika PAS memerintah pada tahun 1999-2004 akibat kurang tumpuan kepada kerja-kerja parti.

Sehubungan itu kata beliau, BPPNT akan memastikan kedua-dua Kerajaan Negeri dan parti kali ini dibahagikan pentadbirannya dan akan diuruskan secara menyeluruh bagi mengimbangi kuasa kedua-duanya.

Bagi merealisasikan cita-cita itu, BPPNT akan mengadakan pertandingan antara PAS kawasan yang paling banyak mencari ahli baharu serta menyediakan hadiah kepada pemenang.

“Kita akan menyediakan hadiah sebanyak RM5 ribu bagi kawasan yang berjaya mencari ahli teramai.

“Kita yakin setiap kawasan boleh mencari ahli baharu lebih 2000 orang, dan setiap kawasan yang berjaya melepasi 2000 orang ahli, akan diberikan saguhati sebanyak RM1000 setiap kawasan,”terang beliau lagi.

Ujar beliau lagi, apabila ahli bertambah di sesebuah kampung, maka cawangan-cawangan baharu juga akan dapat dibuka.

“Ink kerana bagi permulaan menubuhkan cawangan baharu, syarat menyatakan perlu sekurang-kurangnya 25 orang untuk menjadi jawatankuasa penaja,” tambahnya.

Program taklimat yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Kemaman itu, diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman pada Khamis, 9 Ogos.

Taklimat disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kemaman, merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim dan Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh.