PAS Parti Meninggikan Kalimah Allah

552

Oleh : Mohd Asraf

DUNGUN – Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah gerakan yang banyak melaksanakan aktiviti amal ke arah mencapai matlamat perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah Ta’ala sehingga mampu mengatasi ideologi ciptaan manusia.

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik berkata tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik.

Katanya, tanpa mengabaikan tanggung jawab siasah yang ditetapkan mengikut prinsip Islam, PAS juga mempunyai turun berdakwah dan memimpin pemikiran, peribadi dan ruhiyyah masyarakat.

“PAS bukanlah parti untuk berpolitik sahaja namun ia adalah suatu gerakan dakwah dimana matlamatnya untuk mengajak masyarakat menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah Taala.

“Kita parti PAS bukan masuk pilihan raya kerana ingin kuasa semata-mata tetapi kita ada agenda yang lebih besar iaitu mengajak dan berdakwah kepada manusia supaya patuh dan taat serta menegakkan syariat Islam dibumi Allah Ini,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Sura berkata demikian ketika memberi kuliah Maghrib sekaligus merasmikan Mesyuarata Agung Tahunan Kali Ke-7 PAS Cawangan Sura Melati bertempat di Surau Haji Wan Ismail Jalan Melati.

Cikgu Wan Hapandi turut memberi peringatan kepada ahli-ahli PAS agar sentiasa menjaga tingkah laku dan tuturkata serta menunjukkan contoh yang baik kepada parti politik lain, NGO dan gerakan gerakan lain yang di Malaysia ini.

“Kita tidak mahu ada diantara ahli ahli PAS yang suka menghina, mengherdik, caci maki, tidak menjaga tuturkata serta berkelakuan tidak sopan dikhalayak ramai kerana akhlak seorang pejuang agama haruslah mencontohi Nabi Muhammad SAW.

“Jangan kita hanya berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sedangkan kita tidak berusaha untuk menjadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka,” tegas beliau.

Disamping itu, kata beliau, aktiviti kemasyarakatan juga harus dipertingkatkan lagi dari setiap cawangan yang ada agar orang ramai dapat melihat PAS adalah sebuah gerakan untuk semua lapisan kaum.