PAS Paling Setia, Terpecaya

417
Bendera Gergasi PAS DUN Batu Burok

PAS yang paling setia, terpecaya

PAS adalah sebuah parti yang setia kepada janji. PAS sentiasa membuktikan yang mereka berjuang atas nama agama Islam. Apa sahaja gabungan yang dijangka memberikan keuntungan kepada Islam, maka PAS sedia berada di dalamnya. PAS tidak mengira walaupun terdapat dalam gabungan itu musuh mereka, jika musuh mereka itu sanggup bersetuju dengan dasar Islam PAS, sekalipun tanpa mereka mengikutnya. Asal tahu menghormati, cukup.

Bukan omong kosong, bukan masuk bakul angkat sendiri. Buktinya, golongan manakah yang dibenci oleh rakyat Malaysia terutama melayu dan Islam dari dahulu hingga sekarang? Majoriti akan mengatakan ianya DAP. Tetapi PAS, walaupun terpaksa badannya berbau DAP, pada satu ketika, sanggup bersama dengan mereka, kerana kalimah ‘agree to disagree’ yang mereka janjikan terhadap dasar Islam PAS.

Beberapa kali PAS berpisah dengan DAP, berapa ramai juga ahli PAS yang marahkan pimpinan kerana hubungan ini, samada memisahkan diri atau memilih pasukan lawan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka itu.

Namun, PAS mendapat beberapa peluang besar dalam hubungan mereka bagi meninggikan Islam. Maka suara bantahan dari dalam, PAS terpaksa ketepikan demi maslahah yang lebih besar. Yang PAS tidak mahu, DAP versi sekarang. Biar pun ketika DAP jadi kerajaan, tetapi bila rugikan Islam. PAS tak kebulur.

PAS juga pernah terpalit dengan krisis Islam dan Kristian, rekaan Umno pada PRU 1990, apabila Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika berkempen di Sabah, disambut oleh Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan, seorang Kristian tegar.

Ku Li dipakaikan tengkolok yang berlambangkan daun yang kemudian diedit menjadi bentuk seperti salib, berlaku berberapa hari sebelum PRU yang membuatkan undi rakyat berpusing dari Angkatan Perpaduan Ummah kepada BN. PAS juga terpalit teruk. Pun begitu, Kelantan PAS berjaya rampas.

PAS bersama dengan BN menjadi kerajaan sekitar 70-an dan kemudiannya ditendang keluar dari pasukan. PAS berganding bahu dengan PKR setelah simpati yang tinggi PAS terhadap DS Anwar dalam isu tuduhan liwat beliau itu.

Sekarang PAS telah kembali bergabung dengan Umno dan juga secara rasminya turut tidak berperang dengan MCA dan MIC. Maka PAS adalah satu-satunya parti yang telah bergabung dengan semua parti-parti besar politik di Malaysia. PKR dan DAP, tidak pernah bersama BN.

Tiada alasan lain yang diberikan oleh rakan-rakan politik untuk bersama dengan PAS, hanyalah kerana PAS dipercayai dan diyakini sangat setia dengan perjanjian mereka. Dengan BN, PAS yang ditendang keluar, tidaklah PAS yang berbuat jahat. Bersama APU, Semangat 46 yang mahu kembali kepada BN, bukan PAS yang hambat. Dalam Barisan Alternatif, DAP yang tidak berpuashati kerana isu hudud, mereka dakwa mereka menjadi sasaran pengundi bukan Islam.

Apabila Pakatan Rakyat mahu dibubarkan, DAP menekan PAS supaya keluar, tetapi sebaliknya, mereka yang keluar, sambil memaksa PKR Selangor membuang exco-exco dari kalangan Adun PAS. PKR pun sengaja mengadakan Langkah Kajang bagi mengenepikan PAS.

PAS tidak kisah berseorangan atau bersama dengan kumpulan yang kecil, asal mereka menerima Islam yang PAS bawakan. Maka dalam PRU14, PAS,walaupun hanya bersama Gagasan Sejahtera, tetapi PAS tidak gentar. Dan ironinya, apabila berpecah dari gabungan-gabungan ini, PAS ditekan, dimusuhi, diperangi, difitnah, disekat oleh ‘rakan’ politiknya dahulu. Sama sahaja BN, PKR mahupun DAP.

Apa yang berlaku, semuanya berjaya diharungi oleh PAS dengan jayanya. Perlahan-lahan ahli bertambah. Beransur-ansur PAS mendapat peluang yang lebih luas menonjolkan prinsip asas PAS iaitu Islam yang syumul kepada masyarakat. Sedikit demi sedikit bukan Islam tidak lagi takut dengan PAS yang dituduh ekstrim. Istiqamah dengan Islam, adalah kunci bagi segalanya. Rakan PAS tidak akan kecewa jika menghormati dasar PAS ini.

Ketika mula-mula bersama dengan PKR dahulu, tidak sedikit daripada ahli PKR yang berlagak dan cuba memperkudakan PAS. Mereka tiada apa-apa, malah bendera pun dibantu oleh PAS untuk dinaikkan. Cawangan tak tahu di mana, tetapi permintaan bagaikan raja. Sehingga rasa tidak puashati itu disuarakan kepada Presiden PAS.

Apa jawab beliau? Jangan biarkan mereka, kita kena bantu mereka, mereka rakan kita. Diam semua ahli PAS, patuh mendengar dan menjalankan kerja mereka tanpa bantahan. Ketika itu sudah banyak suara-suara buka sahaja dalam PKR malah dari dalam PAS sendiri yang memperlekehkan Presiden PAS yang mahukan Anwar menjadi PM. Tapi beliau tenang-tenang sahaja, tetap membantu rakan.

Bukan menjadi rahsia juga, banyak pertemuan untuk percaturan kerusi dalam gabungan dahulu, kehendak PAS dikendurkan sedikit bagi menyelesaikan banyak masalah. Ramai juga yang marah kepada keputusan perbincangan itu, tetapi masih percaya kepada pimpinan. Kerja tetap kerja. Betapa bersungguh PAS mahu menolong rakan atas nama Islam.

Sehinggakan PAS sanggup menawarkan DAP, menggunakan lambang PAS yang ketika itu menghadapi masalah dengan ROS. PKR pula bukan sahaja bendera, malah calon, duit deposit, duit itu, duit ini, markas, tenaga kerja, tolong kutip derma dan semuanya dipinjamkan PAS kepada mereka. Banyak yang tidak berjaya dikutip semula. Dan ada yang tiba-tiba berbalah pula dengan PAS selepas dibantu.

Kini PAS di dalam Pakatan Nasional. Seperti yang diketahui, PAS tidak ada perjanjian apa-apa dengan TS Muhyiddin Yassin dari Bersatu. PAS hanya berdiri atas prinsipnya yang dahulu, kini dan insyaAllah hingga mati, iaitu menyelamatkan Islam. Negara dalam keadaan cemas dengan beberapa tindakan yang merugikan Islam secara jelas. Ianya mesti dihentikan. Maka PAS, menawarkan undi kepada TS Muhyiddin.

PAS insyaAllah tidak akan khianat dengan apa yang telah mereka serahkan atas nama Islam ini. Kecuali Bersatu melakukan sebaliknya, maka PAS pasti akan berpaling. Ia telah terbukti banyak kali. PAS juga membuktikan setianya kepada agama dan negara dengan tidak meminta apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Ianya terserah kepada kebijaksanaan PM bagi mengatur orang yang layak menjadi wazir negara. Tidak perlu digiurkan tawaran dengan Putrajaya. Bagi PAS, jika Islam rugi, sila ambil semula tawaran itu. Dan percayalah, jika PAS mendapat jawatan dalam Kerajaan Pusat, semua musuh PAS tidak akan dicari untuk membalas dendam. Damailah kamu dengan cara kamu, asal Islam tidak kamu permainkan.

Di mana ada walau sedikit sahaja ruang bagi Islam ditinggikan, PAS akan mengambilnya dan menggunakannya dengan sepenuhnya bagi manafaat semua. Ini semua tanpa upah. Upah kami jika ada di dunia, kami bersyukur tetapi upah yang hakiki yang kami cari, hanyalah di sisi Allah.

Saya percaya cukup bagi PAS, jika PM memberikan kebebasan sepenuhnya PAS memerintah Terengganu dan Kelantan dengan cara yang paling baik mengikut Islam, agar dapat dilihat betap indahnya pemerintahan Islam yang semenjak dahulu, ianya hanya ibarat sebuah cerita rakyat yang didendangkan turun temurun sebelum tidur kepada anak-anak.

PAS, akan buktikan bahawa pemerintahan Islam yang adil itu, sebenarnya wujud, ia bukan cerita khayalan.

Mohd Nasir Abdullah
6 Mac 2020