PAS Miliki Strategi Terbaik

327

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN – Sebelum menjadi kerajaan di Negeri Terengganu, PAS sudah merangka pelan dan strategi yang terbaik untuk rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, gambaran pentadbiran PAS telah berjaya meyakinkan rakyat sehingga dipilih memerintah semula.

“Dulu sebelum kita tidak ada kuasa memerintah, kita beritahu dahulu hasrat kita kepada kerajaan pemerintah (UMNO) iaitu dasar dan apa yang akan dilaksanakan bagi memajukan kembali negeri Terengganu ini.

“Apabila memerintah kita ubah dasar dan prinsip pemerintah di Terengganu berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai panduan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, dasar pemerintahan PAS itulah kiblat atau matlamat bagi negeri Terengganu ini untuk terus berkembang maju mengikut landasan yang betul.

“Saya selaku memegang portfolio Pelaksanaan Syariah, cuba untuk menyeragamkan dan menyelaraskan semua portfolio tidak kira di bawah portfolio sukan dan sebagainya supaya tidak langgar syariat Islam,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Karnival Rakyat slot Forum Perdana Ibrah Maal Hijrah di Padang Kg Cacar Baru, 4 Oktober.

Turut hadir Penceramah Bebas, Ustaz Haslin Baharim (Bollywood), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cacar Baru, Ustaz Mohd Azman Ali serta Isteri ADUN Paka, Sabariah Ilyas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menegaskan, negeri Terengganu yang menggunakan tema “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera” adalah merangkumi semua prinsip dan dasar PAS.

“Sebab itu kita (Kerajaan negeri Terengganu) menggunakan tema maju, berkat, sejahtera kerana ia merangkumi semua aspek termasuk perkara kerohanian dengan pencipta kita,” ujarnya.

Karnival Rakyat anjuran MPKK Cacar Baru bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg Cacar Baru mendapat sambutan sehingga hampir seribu hadirin.

Selain itu, agensi-agensi seperti Klinik Kesihatan Paka, BOMBA dan Polis turut sama menyertai karnival ini.