PAS Melunaskan Lagi Satu Manifesto

22046

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Parti Islam Semalaysia (PAS) berusaha melunaskan salah satu lagi janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu dengan membuka dua pusat jagaan kanak-kanak baharu pada tahun ini.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata, taska baharu itu masing-masing akan dibuka di Wisma Darul Iman dan di Majlis Perbandaran Dungun.

“Setakat ini dua buah taska akan dibuka yang pertama, di Wisma Darul Iman di (ruangan) kafetaria akan diambil dan dibaik pulih untuk dibuat taska dan yang kedua di Majlis Perbandaran Dungun.

“Saya harap sekitar tiga atau empat bulan kedua-duanya dapat beroperasi,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian ketika ditemui pihak media di Wisma Darul Iman, di sini, semalam, 6 Mac.

Menurut kata beliau, walaupun terdapat halangan dan kekangan, namun lima buah jabatan memberikan khidmat taska kepada kakitangan mereka.

“(Taska) yang telah beroperasi (dibawah Yayasan Pembangunan Keluarga-YPK) ialah di (pejabat) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Universiti teknologi Malaysia -UiTM Dungun, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Majlis Daerah Besut.

“Halangan utama (penyelenggaraan taska ialah) mengenai kewangan, jadi kita mengharapkan sekiranya wang (royalti) petroleum di bayar dengan baik oleh kerajaan pusat maka kita akan dapat bergerak dengan lebih baik lagilah,” ujarnya.

Sekiranya berlaku kurang pelunasan bayaran hasil petroleum itu, kata beliau, ia akan memberi kesan kepada pengurusan taska sedia ada dan pembukaan taska yang baru.

Hanafiah berkata, beliau mengarahkan kepada setiap jabatan untuk mengenal pasti premis yang sesuai untuk dijadikan pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

“Kita dah beri arahan kepada jabatan kerajaan untuk mereka mencari premis di jabatan masing-masing bagi memastikan kita dapat membuka taska di tempat mereka.

“Setakat ini belum ada maklum balas lagilah daripada jabatan lain,”ujarnya.

Justeru beliau berharap semua jabatan kerajaan dapat mengambil tindakan segera agar kemudahan taska yang membawa manfaat kepada penjawat awam itu dapat menjadi kenyataan.

“Harapan saya ialah semua jabatan kerajaan di semua peringkat dapat membuka taska dengan seberapa segera bagi memastikan kakitangan kerajaan mendapat tempat yang lebih baik untuk meletakkan anak mereka sekurang-knya tidak jauh daripada tempat mereka bekerja

Dan dalam masa yang sama mereka boleh berulang alik ke taska jika perlu kerana jaraknya yang tidak begitu jauh,” katanya.