PAS Marang Tubuh ‘Task Force’ Hadapi Banjir

292

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – PAS Kawasan Marang telah menubuhkan ‘task force’ hari ini bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku di daerah itu.

Pengerusinya, Ariffin Deraman berkata, beberapa perancangan dirangka untuk memastikan rakyat di kawasan yang terjejas banjir tidak terbeban dengan banyak masalah.

“Jawatankuasa pengurusan banjir di kawasan Marang akan dipengerusikan saya sendiri di samping Haji Saufi Chik sebagai pengarah.

“Sekiranya berlaku banjir nanti, kita bersedia membuka pusat pemindahan di sebelah Wakaf Tapai dan juga di kawasan Alur Limbat,” jelasnya selepas mesyuarat jawatankuasa banjir peringkat Marang hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Marang berharap agar banjir tidak berlaku di daerah itu sebagaimana mana kawasan-kawasan lain.

Katanya, pihaknya juga telah bersedia untuk turun ke kawasan lain yang terjejas banjir.

“Kita telah memutuskan untuk membantu mana-mana kawasan dan juga negeri kalau berlaku banjir besar.

“Alhamdulillah setakat ni unit amal Marang akan turun ke besut untuk membantu rakan-rakan kita dan kita juga akan turun ke tempat-tempat yang berlaku banjir di Terengganu,” tambah beliau.