PAS Marang Kehilangan Pejuang Gigih

637

Oleh : Aslam Wira

MARANG – Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Marang kehilangan seorang pejuang yang gigih apabila mantan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Daud Jusoh meninggal dunia awal pagi ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan menerima ujian tersebut dengan tabah.

“Pagi ini menerima perkhabaran dukacita pemergian Cikgu Daud Jusoh, Mantan Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang ke rahmatullah.

“Takziah kepada ahli keluarga, semoga roh arwah dicucuri rahmat dan amal jasa baktinya buat jemaah Islam serta masyarakat diterima Allah,” ucap beliau laman rasmi facebook miliknya sebaik sahaja menerima berita tentang kematian tersebut.

Beliau yang juga juga Menteri Besar Terengganu sempat menziarahi arwah bersama-sama keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam.

Menurutnya, arwah adalah merupakan orang yang banyak berbakti dan membuat jasa dalam jemaah Islam.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri juga kerap menziarahi bekas pengarah MTD tersebut di rumahnya yang uzur di Kampung Rusila.

Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Rusila sebaik sahaja selesai solat zohor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rusila.