PAS Kuala Berang Hargai Sumbangan As-Sabiqun

142

Oleh : Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU – PAS Kuala Berang menghargai jasa veteran atau lebih dikenali sebagai As-Sabiqun, yang puluhan tahun menaburkan khidmat bakti bersama parti.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, ini merupakan kali pertama PAS Kuala Berang menganjurkan sidang As-Sabiqun bagi menghargai jasa mereka yang telah lama berkhidmat bersama PAS.

“PAS Kuala Berang mempunyai ramai As-Sabiqun dengan kehadiran lebih 150 orng dan sudah tentu jasa mereka perlu kita hargai dengan mengadakan satu pertemuan yang boleh merapatkan ukhuwah,” jelasnya.

Beliau berkata ketika berucap dalam Sidang As-Sabiqun PAS Kuala Berang yang berlangsung di Markaz Tarbiah PAS Hulu Terengganu, Taman Kenanga, Kuala Berang pada Sabtu 12 Oktober.

Menurut beliau yang juga Bendahari PAS Kawasan Hulu Terengganu, setiap cawangan PAS mestilah cakna kepada kebajikan As-Sabiqun.

“Mereka (As-Sabiqun) ada yang masih aktif dan ada juga yang tidak aktif kerana sebab yang tertentu seperti sakit. Oleh itu, ahli PAS di setiap cawangan mestilah mengambil tahu akan setiap keberadaan As-Sabiqun di cawangan masing-masing,” katanya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Muhyiddin Abd Rashid.