PAS Kemuka Usul Undi Percaya Perdana Menteri Ke-8

120

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mengemukakan Usul Undi Percaya kepada YAB. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Haji Muhammad Yassin, untuk dibentang serta dibahaskan dalam Persidangan Parlimen yang akan bermula pada 13 Julai 2020.

2. Usul ini dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Ke-8 ini yang telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac 2020 yang lalu.

3. PAS yakin kepimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan malah sanjungan dari rakyat jelata pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera Kerajaan, sama ada peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar Kerajaan-kerajaan Negeri. Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh Kerajaan pula telah disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara.

4. PAS amat yakin Usul ini akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti. Dengan sokongan yang bakal diberikan sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 26 Jun 2020.