PAS Kemaman Santuni Pesakit Di akhir Ramadan

480

KEMAMAN – Lebih 160 pesakit yang sedang mendapat rawatan di Hospital Kemaman, di sini, diraikan oleh kepimpinan PAS Kawasan Kemaman dalam satu program ziarah, petang tadi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid yang mengetuai rombongan tersebut berkata, program ziarah di akhir Ramadann sempena kedatangan Syawal bertujuan memberi kegembiraan kepada pesakit melalui sumbangan yang diberikan sambil mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya.

“Lawatan ini juga merupakan tanggungjawab sosial kami kepada pesakit di hospital terutamanya kepada mereka yang terpaksa menyambut Hari Lebaran di katil hospital.

“Kata-kata perangsang dan simpati kami ucapkan sebagai terapi yang boleh meringankan beban pesakit. Ini kerana, tanpa semangat yang kuat, pesakit tidak mempunyai kekuatan untuk mengharungi keperitan dan penderitaan akibat penyakit yang ditanggung,” ujar Che Alias.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman memberitahu, mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosinya agar dapat dibina semula keyakinan diri mereka, meskipun diduga dengan masalah kesihatan.

“Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah,” ujar Che Alias lagi.

Sementara itu, menurut Setiausaha PAS Kawasan Kemaman, Mohd Hafiz Adam peruntukkan kewangan sebanyak RM20,000 telah dibelanjakan untuk program ziarah tersebut.

“Terima kasih kepada para dermawan yang membantu kami menjayakan program tahunan PAS Kawasan Kemaman ini, sebagai organisasi Islam yang prihatin kami perlu terus mendampingi rakyat terutamanya ketika mereka berada di hospital.

“Dalam program lawatan ke wad, para pesakit dirai termasuk menerima sumbangan duit raya berserta kuih raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri,” ujar beliau.

Turut bersama dalam kunjungan berkenaan adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek, serta tiga wakil rakyat PAS dari Parlimen Kemaman.

Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Kemaman, Dr. Mat Noh Karim turut bersama mengiringi rombongan ziarah dan menyampaikan taklimat.

Selain 160 orang pesakit, rombongan itu juga turut meraikan 70 kakitangan dan 20 pengawal keselamatan Hospital Kemaman dengan memberi sumbangan kuih raya.