PAS Bukit Besi Rai 114 Orang Anak Yatim

255

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Seramai 114 orang anak yatim telah diraikan oleh Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi dalam satu majlis berbuka puasa.

Pengarah MTD Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, program tersebut diawalkan kerana bimbang bertembung dengan program PAS di peringkat negeri ataupun kawasan.

“Kita risau akan terlepas pandang terhadap mereka, kerana dijangkakan pertengahan dan akhir Ramadan akan banyak program yang telah disusun atur di oleh pimpinan PAS di peringkat tertinggi.

“Dimana kita tahu mengembirakan anak yatim di bulan penuh mulia ini besar fadilatnya.

“Kita seboleh-bolehnya mahu anak-anak yatim ini diraikan dengan berbuka puasa bersama mereka dengan diberi sedikit sumbangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam majlis meraikan anak yatim yang diadakan di Pusat Komuniti Desa Al-Muktafi Billal Shah (AMBS), pada Khamis 9 Mei.

Menurutnya, golongan anak yatim yang terpilih adalah yang kematian bapa.

“Anak yatim yang kita pilih bukan yang kehilangan ibu, tetapi kehilangan bapa, yang mana mereka kehilangan tempat pergantungan dan ibu mereka pula dikategorikan sebagai ibu tunggal yang melalui keperitan apabila suami meninggal.

“Anak yatim piatu juga adalah keutamaan untuk kita santuni mereka dengan penuh kasih sayang, agar terbela dan diberi perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.

Menurut Ghazali, beliau amat berterima kasih kepada seluruh pihak Ahli Jawatankuasa MTD dan Muslimat PAS Bukit Besi yang telah bertungkus lumus bagi memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar.

Sehubungan dengan itu Ketua Muslimatnya Zakiah Alias berkata, program tersebut adalah untuk mempertautkan ukhwah, mempereratkan persaudaraan serta menjadi jambatan penghubung kasih sayang di antara anak yatim dengan kepimpinan DUN Bukit Besi.

“Semoga majlis yang diadakan ini mengundang keberkatan dari ilahi pada bulan yang penuh kemulian, dan penuh kerahmatan.

“Setiap usaha yang sedikit ini akan menatijahkan pahala yang berlipat kali ganda kepada mereka yang terlibat pada program ini.

“Dan juga para tetamu yang telah hadir sebagai pembuktiaan akan kecaknaan dan keprihatinan terhadap anak yatim berkenaan,” katanya.

Menurutnya, majlis tersebut telah dihadiri 250 orang yang melibatkan anak yatim, penjaga dan tetamu.