PAS Bimbang Anak Muda Tiada Ideologi PolitiK

108

Oleh – KAM

KUALA NERUS: PAS mengingatkan kepada seluruh pemimpin dan jentera partinya agar bijak melayani pengundi muda berusia 18 tahun dengan baik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pengundi muda berusia 18 tahun itu menjadi suatu cabaran besar kepada PAS kerana majoritinya tidak mempunyai ideologi parti politik.

Menurut kajiselidik, katanya anak-anak muda yang berada di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak sampai 10 peratus mempunyai ideologi celik politik.

“Undi 18 tahun menjadi satu cabaran besar kepada kita (PAS). Ini kerana, pengundi 18 tahun ini kebanyakkan tidak ada ideologi, mereka tidak kisah sangat politik-politik perkauman ini. Pada mereka, siapa perintah pun tiada masalah,” ujarnya.

Belliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Liqa Fikri PAS Kawasan Kuala Nerus dengan tajuk ‘Islam Memimpin Perpaduan Melalui Taawun Siyasi’ di Kompleks Tarbiyyah A-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, Kuala Nerus, 12 Januari lalu.

Beliau turut mengambil contoh kajiselidik terhadap para pelajar di Universiti yang hampir 90 peratus lebih tiada kesedaran politik memilih kepimpinannya.

“Kita tengok pilihan raya kampus yang berlaku di IPTA. Setiap tahu ada pemilihan untuk pemimpin pelajar. Mereka yang betul-betul ada ideologi, ada (ikut) jamaah, tak sampai pun 10 peratus. Tidak kiralah ikut ABIM, ISMA, PAS atau apa pun, tak sampai 10 peratus.

“Jadi, 90 peratus lagi itu dia mengundi ikut (suka) dia. Kadang-kala dia mengundi kerana calon itu comel, mancul dan sebagainya. Itu yang cerdik duduk universiti, mereka tak kisah politik,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya semua petugas parti perlu mengambil cakna dan perhatian kepada anak-anak muda hari terutama yang mencecah usia 18 tahun boleh mengundi.

Menurutnya, jadikan Kelantan dan Terengganu sebagai negeri contoh yang kepimpinan kerajaan ini diyakini oleh generasi anak muda itu.

“Tuan-tuan adalah negeri contoh kepada manifesto yang akan kita tawarkan kelak. Kelantan dan Terengganu ini negeri kita (PAS) perintah. Perlu kita buat sesuatu untuk kita tunjukkan bahawa kita bukan nak perintah sahaja.

“Tetapi, kita (kerajaan) kena buktikan dalam soal pengurusan. Pengurusan ekonomi, dari segi ketelusan, kebijaksanaan dan sebagainya. Ini yang mereka (anak muda) lihat. Undi (orang) kita (PAS) tidak ada masalah tetapi undi orang luar.

“Sebab itu, dua kerajaan ini mempunyai tanggungjawab yang besar. Jangan sama sekali kita ada rekod yang tidak baik. Jika orang lain buat mungkin tak kisah tetapi jika melibatkan pimpinan PAS ataupun di kalangan kerajaan negeri yang kita (PAS) pimpin itu cukup merbahaya.

“Apatah lagi merosakkan imej kita (PAS) di kalangan pengundi-pengundi muda,” tegasnya di hadapan hampir 750 peserta Liqa Fikri tersebut.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim dan Timbalan Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang.