PAS Batu Rakit Lancar Tabung, Siap Siaga Hadapi PRU

186

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU – PAS DUN Batu Rakit melancarkan tabung syiling sebagai persiapan kewangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Baru Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, ia bertujuan untuk membolehkan parti itu benar-benar bersedia dari segi kewangan.

“Ia sebagai langkah mempersiapkan calon PAS yang akan bertanding agar setia dengan jamaah.

“Kita berharap projek ini akan menjadi model kepada rakan-rakan ahli PAS yang lain di seluruh negara untuk membolehkan kita mempunyai kewangan yang cukup menjelang pilihan raya nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program majlis pelancaran di Chalet Samudra, pada semalam.

Majlis yang dianjurkan oleh PAS DUN Batu Rakit bersama PAS cawangan Wakaf Tengah, Balai Maras dan Alor Jambu itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi MTD Batu Rakit, Che Sulaiman Ismail.

Menurutnya, puluhan tabung syiling berkenaan membolehkan para ahli PAS di Batu Rakit menggunakannya bagi mengumpul dana parti.

“Tabung derma itu akan dibuka pada setiap tiga bulan sekali dan sekarang ini sudah mengumpul RM 3,000 daripada tiga cawangan itu,” ujar beliau.