Panduan Berpuasa Untuk Ibu Hamil

970

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Hari ini saya lihat ramai kes ibu hamil turun berat badan setelah seminggu berpuasa. Adakah penurunan berat badan tersebut mendatangkan kesan buruk kepada bayi? Bagaimana kaedah mengekalkan berat badan semasa puasa bagi ibu hamil?

Hukum telah digariskan oleh ulama bahawa wanita hamil tidak diwajibkan berpuasa. Begitu juga bagi wanita yang menyusu anak kecil mereka. Di haruskan berbuka puasa dengan syarat menggantikannya setelah semula dan/atau membayar fidyah.

Hukumnya jelas dibahaskan oleh ulama demi menjaga kemashlahatan kesihatan bagi ibu-ibu. Begitu indahnya Islam.[1]

Mutaakhir ini terdapat banyak kajian yang menghubung-kaitkan antara puasa Ramadhan dengan kesan kesihatan terhadap ibu hamil. Terbukti bahawa puasa Ramadhan tidak memberi kesan negatif kepada beliau dan anak dalam kandungan.

Cuma terdapat satu kajian terhadap wanita hamil Islam yang menginap di England, mendapati berpuasa pada bulan² awal hamil dikaitkan dengan daya intelektual mental yang rendah. Data tersebut menyebut 20% kanak-kanak berumur 7 tahun mempunyai daya intelektual mental yang rendah. Secara retrospektif mereka mendapati ibu-ibu mereka berpuasa Ramadhan semasa hamil.

Sememangnya 4 bulan pertama awal hamil adalah masa yang kritikal bagi tumbesaran janin. Disertai pula dengan sesetengah ibu hamil yang muntah-muntah akibat alahan. Di saat ini lah memerlukan penjagaan kesihatan yang optimum. Pemilihan makanan yang berzat dan meminum air secukupnya. Di England, purata waktu siang mereka antara 17 hingga 19 jam. Melaparkan dan mendahagakan diri kerana berpuasa agak lama. Resiko untuk kekeringan air dan tenaga juga tinggi.

Pun begitu, atas ketaatan kita sebagai muslim, ramai ibu-ibu hamil yang bernekad juga melakukan ibadah puasa. Boleh mereka meneruskan berpuasa. Bagi negera kita, purata waktu siang agak pendek, antara 11 – 12.jam, tidaklah terlalu lama berlapar dan berdahaga.

Ibu-ibu hamil dinasihatkan
i) memakan makanan berzat semasa berbuka dan sahur. Banyakkan serat seperti sayuran bagi mengelakkan rasa kenyang semasa siang hari. Ini kerana serat lambat proses pencernaannya.
ii) Minum air kosong paling minima 7 gelas.
iii) semasa bersahur dan berbuka, mulai dengan makanan gula ringkas seperti buah tamar.
iv) Kurangkan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga fizikal pada siang hari.
v) Elakkan juga melakukan aktiviti luar rumah terutama sewaktu panas terik matahari.
vi) Jangan mengambil minuman bergas dan berkafein.
vii) Ketahui tanda-tanda anda kekurangan air, atau kekurang zat gula dalam badan (hipoglisemia).

Jika mendapati berat badan bertambah atau berkurang 10% dari berat sebelumnya, dinasihatkan tidak berpuasa kerana ianya berisiko menjejaskan janin. Pertambahan atau penurunan berat badan ini perlu diperhati sebaik mungkin, kerana ia melibatkan jumlah kalori yang dimakan sepanjang tempoh berpuasa. Hal ini perlu dititik beratkan kepada ibu-ibu hamil yang sudah mempunyai masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi, anemia dan seumpamanya.