Paling Menjengkelkan Bila Menteri Merapu Isu Tabung Haji!

725

Oleh : Dr Azman Ibrahim

PAS parti yang paling lama berpengalaman sebagai pembangkang. Parti yang ditubuhkan sezaman dengan PAS seperti Umno, MCA dan MIC boleh bertahan kerana mereka sejak merdeka adalah parti pemerintah. Ditakdirkan mereka jadi pembangkang seperti PAS, agak-agak masih wujud atau sudah ghaib dari muka bumi Malaysia.

Walau lama jadi pembangkang, tapi bila diberikan amanah kepimpinan sebuah kerajaan, pimpinan PAS tak kekok untuk ubah pemikiran dari pembangkang kepada pemerintah. Kita mampu menyesuaikan diri dengan cepat. Bercakap dan bertindak dengan mentaliti sebagai sebuah kerajaan.

Berbeza dengan pembawakan sebahagian besar pimpinan Kerajaan Pusat sekarang. Walau usia parti dan umur mereka jadi pembangkang tidaklah sebanding kalau diukur dengan PAS, tapi cara bercakap dan bertindak mengambarkan mentaliti pembangkang masih menebal.

Kuasa dah ada di tangan tapi ramai yang suka pindahkan kuasa mereka kepada media. Bercakap itu ini berdegar-degar dan bukannya nak bertindak. Dalam sidang media menteri, masih ada lagi acara angkat plakad. Tak puas lagi ke main plakad?

Paling menjengkelkan bila menteri merapu kepada media dalam isu Tabung Haji. Falsafah dan objektif penubuhan Tabung Haji sangat baik dan murni serta TH mampu melaksanakan tugas dengan tepat bagi menjaga kepentingan jemaah haji. Ada salah tadbir urus atau pecah amanah, bawalah individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Jangan dirosakkan institusi TH secara keseluruhan.

Inilah antara aset ummat Islam yang masih tinggal di bumi Malaysia. Kamu nak hakis satu persatu dengan letakkan ia bawah kuasa seorang menteri bukan Islam? Ingat balik bila Kerajaan Pusat bertukar, lebih 1000 orang Imam dan Bilal yang sepatutnya mengerjakan haji bawah tanggungan kerajaan telah dibatalkan. Siapa menteri yang kata, pembiayaan mengerjakan haji itu perlu dibatalkan kerana ia satu pembaziran?

Nak harapkan Menteri DAP bela nasib orang Melayu yang toreh getah dan kait kelapa sawit dah gelap gambar. TH yang di bawah kuasa Menteri Melayu Islam pun nak diperjudikan di bawah DAP. Saya sangat bimbang bila nanti perbelanjaan mengerjakan haji dikira satu pembaziran!

Dr Azman Ibrahim