Optimakan Momentum Mengisi Kemenangan

444

Oleh : Aziz Hambali

KEMAMAN – Pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) di semua peringkat diingatkan agar mengoptimakan momentum di dalam gerakkerja   untuk mengisi dan seterusnya mengekalkan kemenangan.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berharap program-program parti dalam bentuk ceramah, penerangan, dialog, sama ada yang melibatkan media sosial dan seumpamanya mesti diperkasakan.

“Program-program tarbiyah walaupun sibuk macam mana pun kita sebagai kerajaan, soal tarbiyah merupakan perkara yang paling asas yang perlu kita lipatgandakan,” ujar beliau.

“Bercakap soal pembinaan tamadun, kemusnahan tamadun, kejatuhan kerajaan ialah apabila berlakunya kelemahan dari segi tarbiyah dalam kalangan mereka yang mendokong kerajaan pada waktu itu,” ujarnya.

Yang DiPertua PAS Kawasan Marang itu berucap demikian ketika merasmikan program Retreat Kepimpinan PAS Kawasan Marang di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong di sini pada 22 Disember.

Beliau juga mengharapkan dalam suasana sudah menjadi kerajaan ini, parti sepatutnya menjadi lebih kuat dan tidak boleh terlalu bergantung seratus peratus kepada program-program dan aktiviti-aktiviti kerajaan.

” Retreat kita pada kali ini seharusnya dapat sampai kepada konklusi bahawa kita kena bekerja lebih kuat daripada sewaktu kita menang pada Pilihan Raya (PRU) 14 baru-baru ini,” tegas beliau.

Program melibatkan lebih 80 peserta itu, adalah terdiri daripada petugas-petugas parti seluruh kawasan Marang dan ianya berlangsung selama dua hari satu malam.