Muslimat Turut Hulur Bantuan Kepada Tujuh Anak Yatim

191

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) turut menghulurkan bantuan kepada tujuh orang anak yatim ‘piatu’ yang hilang tempat bergantung apabila kedua ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan maut pada 4 Oktober lalu.

Ketua Lajnah Kebajikan DMPNT, Khairiah Mokti berkata, adik Muhammad Danial, 12 tahun, Muhammad Danish Irfan (11), Mohamad Darwis Iqbal (9) Muhammad Dhiyauddin Aman (8), Muhammad Daim Amin (6) Muhammad Dhiya Arsya (5) dan Dayanah Athirah Kamal (3), tinggal di Kampung Pasir Raja

Walaupun banyak pihak telah tampil namun kata Khairiah, DMPNT tak mahu ketinggalan untuk menyumbang bagi meringankan beban mereka.

“InsyaAllah kita akan bincang dengan Muslimat PAS DUN Bukit Besi bagaimana cara supaya anak-anak ini sehingga habis belajar dan menyambung pengajian ke universiti akan sentiasa ada bantuan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke kediaman penjaga anak berkenaan, di Kampung Pasir Raja pada Ahad, 14 Oktober.

Oleh itu, kata beliau, apa jua tindakan yang akan diambil adalah melalui Muslimat PAS DUN Bukit Besi dan penjaga anak-anak tersebut.

“Sebab kita tak tahu apa yang berlaku untuk jangka masa panjang, dari segi kewangan tiada masalah ramai yang tampil membantu.

“Cuma di pertengahan nanti takut akan wujud masalah, terutamanya untuk belajar sehingga ke peringkat univerisiti,” jelasnya.

Justeru itu, bagi pihak DMPNT beliau berharap kunjungan dapat mengurangkan ‘trauma’ yang dihadapi oleh anak-anak yang masih kecil itu.

Dalam pada itu, Ketua Muslimat PAS DUN Bukit Besi, Zakiah Alias berharap agar ujian yang menimpa keluarga berkenaan diterima dengan redha.

“Setiap ujian itu Allah beri kepada hamba-Nya yang kuat dan wajib menerima qada dan qadar Allah yang kita imani.

“Jadi, saya di peringkat Muslimat PAS Bukit Besi mengalu-alukan kedatangan kebajikan Muslimat PAS Negeri Terengganu dan datang dengan satu niat yang murni,” jelasnya.

Sewajarnya, tambah beliau, setiap musibah dan ujian yang terjadi, jelasnya menuntut kepada keyakinan dan keimanan yang jitu serta percaya pada setiap yang berlaku ada hikmah juga diganjarkan pahala akhirat yang sempurna.

Turut sama dalam ziarah tersebut ialah Zaliyah Tahman, isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional, Haji Hanafiah Mat.