Muslimat Selesa Dengan Taawun Siyasi

590

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS negeri Terengganu melahirkan rasa selesa dengan pendekatan ta’awun siyasi antara PAS dan Umno.

Ketuanya, Hajah Zarani Othman berkata, ianya bertujuan memastikan mereka menjadi penyokong utama kepada dasar Islam yang ingin ditegakkan di Malaysia.

“Kita sedar bahawa di sebalik percanggahan dasar antara dua pihak memungkinkan untuk bersatu di atas dasar-dasar yang di sepakati.

“Dan berlapang dada di atas dasar yang tidak disepakati serta inilah dia usaha penyatuan yang memerlukan toleransi yang tinggi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama yang bertema ‘Lebarkan Dakwah, Satukan Ummah’ di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu(DMPNT)
Kali Ke 46 di hotel Permai pada sabtu, 20 April.

Menurutnya, penyatuan di peringkat nasional juga harus dipandang penting kerana pelbagai usaha pihak musuh untuk memecah belahkan perpaduan dilihat semakin galak.

“Percanggahan politik harus berhenti di meja bulat tanpa dibawa keluar ke medan masyarakat.

“Unsur hasutan ke arah persengketaan antara kaum adalah amat tidak wajar, dan harus diambil tindakan oleh pihak berwajib,” ujarnya.

Beliau yang terpilih untuk terus menerajui organisasi Muslimat PAS Marang menegur sikap  sesetengah pihak yang seolah-olah melempar batu sorok tangan dan menyifatkan ianya amat jelek.

“Ia berlaku hampir dalam setiap situasi dan telah menimbulkan penilaian tidak adil pada sesetengah pihak,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap, serangan yang semakin melebar di era digital ini, harus ditangani dengan wadah serupa.

“Jadikan media baru sebagai alat menangkis serangan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Di samping memanfaatkan peluang menjadi agen perubah kepada mentaliti mengutamakan kebenaran,” tambahnya.