Muslimat Pelengkap Perjuangan

687

Oleh : Abd Muhaimin Muhammed

SETIU – Peranan muslimat dalam dunia penuh mencabar pada masa ini bukan sekadar bersifat sebagai pengisi tempat kosong perjuangan PAS semata-mata.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu (DMPKS), Rohani Awang berkata, muslimat kini perlu memainkan peranan di posisi ‘jantung’ kepada perjuangan parti.

“Peranan muslimat di posisi jantung gerakan Islam, adalah sangat penting, bukan sahaja sebagai individu penyeri atau pelengkap tetapi juga sebagai entiti penggerak utama memastikan kejayaan program-program yang di atur pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian Penubuhan Cawangan Muslimat di Balairaya Kampung Padang Saujana, Setiu yang turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Dun Permaisuri, Halimah Ibrahim.

Menurut Rohani Awang, muslimat harus kembali kepada peranan asasnya sebagai pendidik pertama di dalam institusi keluarga.

Pada masa sama, beliau berkata muslimat tidak harus mengenepikan peranan mereka sebagai pemimpin di kalangan golongan wanita dalam konteks pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat.

Katanya, muslimat juga perlu menjadi contoh dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, juga bertindak sebagai agen perubahan ke arah masyarakat yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.

“Dalam suasana masyarakat yang memerlukan ikon sebagai tanda aras, muslimat yang terlibat dalam gerak kerja dakwah di setiap peringkat sebolehnya menjadi ikon dalam konteks masing-masing.

“Ini kerana akhlak yang ditunjukkan, keperibadian yang ditonjolkan, kebolehan yang dipamerkan dan pengorbanan yang diberikan, semuanya itu adalah pencetus kepada kesedaran sahabat-sahabat seperjuangan yang lain,” tegas beliau lagi.