Muslimat Muda Perlu Lebih Menonjol

655

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Muslimat muda PAS (Ameerah) perlu lebih bijak mengambil peluang untuk menonjol ke segenap ruang masyarakat bagi menarik lebih ramai wanita mengenali dan bersama PAS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili ketika ditemui di pejabatnya di Kertih, di sini, pagi ini memberitahu beliau gembira dengan pelbagai aktiviti dilakukan Ameerah.

“Muslimat muda PAS atau Ameerah ini, perlu meluaskan gerak kerja, lebarkan peranan dan bersedia memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.

“Ameerah juga adalah sandaran untuk melaksanakan aktiviti sosial dan kemasyarakatan agar dapat mendekatkan lagi masyarakat kepada PAS.

Ustazah Husna Abdul Rahman (berkaca mata) isteri ADUN Kemasik mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa Ameerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik atas usaha yang tidak jemu-jemu menarik anak muda bersama PAS,” ujar Ir Saiful Azmi lagi.

Sementara itu, Ketua Ameerah DUN Kemasik, Nor Izana Alisah memberitahu Ameerah DUN Kemasik merupakan entiti di bawah Dewan Muslimat PAS Kemaman yang mewakili suara muslimat muda PAS.

“Pelbagai aktiviti bermanfaat telah dan akan dirancang melibatkan orang ramai terutamanya dalam bidang dakwah, tarbiyah dan siasah.

“Pada petang semalam kami mengagihkan sebanyak 243 bungkusan Kuih Tiramisu, Puding Trifle dan Kurma kepada para pengunjung Bazar Ramadan di Kampung Baru, Kertih sebagai salah satu program mendekatkan Ameerah kepada masyarakat,” ujar beliau.

Turut sama menyertai program Ameerah itu ialah isteri ADUN Kemasik, Ustazah Husna Abdul Rahman.