Muslimat Muda PAS Turun Padang Dekati Golongan Sasar

387

Oleh : Rohaida Rabi

MARANG – Muslimat Muda PAS (Ameerah) DUN Bukit Payung gigih berusaha turun ke padang untuk mendekati golongan sasaran iaitu wanita muda.

Tindakan tersebut dipuji oleh Ustazah Zainun Wahab iaitu Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

“Tahniah dan syabas diucapkan buat semua ahli jawatankuasa Ameerah DUN Bukit Payung atas usaha yang tidak jemu-jemu menarik anak muda mendekati PAS khususnya.

“Saya melihat Ameerah boleh masuk banyak ruang dan perlu bijak mengambil peluang untuk menonjol ke segenap ruang masyarakat bagi menarik lebih ramai lagi wanita mengenali dan bersama PAS,” jelasnya

Beliau berkata demikian selepas merasmikan gerai pameran dan jualan amal Ameerah DUN Bukit Payung di Karnival Bukit Payung Sejahtera 2019 di perkarangan Pasar Kedai Buluh semalam, Sabtu, 4 Mei.

Zainun yang mesra dipanggil Kak Long mengingatkan kepada seluruh petugas parti agar lebih aktif dalam gerak kerja terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan datang.

Menurutnya, beliau berharap agar Ameerah terus istiqamah menghidupkan program- program seperti dakwah, tarbiyah dan siasah untuk menarik mereka mengikuti setiap program yang diadakan.

Sementara itu, beliau juga menyeru kepada semua Muslimat Muda PAS agar bijak dalam menjana ekonomi sendiri.

“Tiba masanya kita mempunyai produk sendiri agar kita boleh pergiatkan lagi program-program yang bakal dianjurkan mendatang,” ujarnya.

Tambahnya, karnival yang berlangsung selama empat hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai agensi kerajaan dan swasta serta NGO.