Muslimat Lancar Munajat Mujahidah

264

Oleh : Nooreni Abu Bakar

MARANG – Muslimat PAS Terengganu telah melancarkan program Munajat Mujahidah sebagai benteng mempertahankan kemenangan PAS pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Ketuanya Hajah Zarani Othman berkata ia akan diadakan di setiap kawasan, DUN-DUN seterusnya ke cawangan-cawangan.

“Selepas pada ini, kita bermunajat dan berdoa untuk keselamatan dan perkembangan memartabatkan Islam, untuk selamat umat Islam.

“Kesanggupan umat Islam untuk menjadikan Malaysia kita sebagai negara yang sejahtera dan supaya niat dan cita-cita kita hendak supaya Terengganu ini maju, berkat dan sejahtera, dan supaya muslimat kita bersatu hati InsyaAllah.” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat Marang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Munajat Mujahidah Terengganu di Masjid Haji Ahmad bin Ibrahim (Masjid Dato Yahya), Rhu Rendang, di sini pada 8 Mei.

Menurutnya, bulan Ramadan yang penuh berkat akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memohon pertolongan Allah.

“Jadi dalam sebulan kita ada empat minggu lebih kurang, kita nak satu DUN satu minggu, kita nak setiap cawangan dalam seminggu tu mesti dibahagi-bahagikan.

“Kita nak setiap minggu tu ada munajat InsyaAllah dan yang bersambung-sambung samada sebelah pagi ataupun sebelah malam.” jelasnya kepada muslimat yang memenuhi ruang solat masjid itu.

Sempena pelancaran berkenaan turut diadakan solat hajat dan munajat diterajui oleh Bendahari Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu, Ustaz Suhaimi Daud dan beliau turut menyampaikan taklimat kaedah bermunajat.