Muslimat Hasilkan ‘Face Shield’ Untuk ‘Frontliners’ Kesihatan

310

DUNGUN – Muslimat Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang mengambil inisiatif menghasilkan Perisai muka ‘face shield’ untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Menurut Ketuanya, Rugayah Mahmood ia bagi membantu warga kesihatan setempat menghadapi penularan pandemik Covid19.

Katanya, idea tersebut timbul setelah mendapati Hospital Dungun menghadapi masalah kekurangan bekalan penutup muka keselamatan itu.

“Sebanyak 400 unit ‘face shield’ telah kita serahkan hari ini, insyaAllah kita akan membuat penyerahan lagi, sebab kerjasama rapat antara muslimat dan Ameerah(Wanita Muda PAS) DUN, kita berjaya menghasilkan 1000 unit alat perlindungan tersebut”, jelasnya.

Beliau yang dihubungi selepas majlis ringkas penyerahan alatan tersebut oleh ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun kepada Pengarah Hospital Dungun, Dr. Farah Najwa Abdul Rahim di sini pada 31 Mac.

Oleh itu beliau memberitahu, pihaknya juga akan turut membantu mengeluarkan penutup kepala(hair cover) dan juga pelindung kasut(bootie).

“Pihak hospital juga meminta kami menyediakannya dan kami akan menjahit selagi ada permintaan daripada pihak hospital, memandangkan ianya adalah ‘single use’ (pakai buang),” katanya.

Sementara itu, Cikgu Alias yang memuji usaha murni tersebut sambil mengharapkan kerjasama orang ramai agar patuh kepada arahan kerajaan supaya tinggal di rumah masing-masing dan tidak sewenang-wenangnya keluar tanpa alasan yang munasabah.

“Marilah kita disiplinkan diri kita untuk kekal di rumah dan sentiasa berdoa agar kita bebas daripada COVID-19 dan tiada lagi PKP selepas 14 April nanti.

“Dengan cara itu, kesulitan yang timbul sekarang dapat diatasi, kita akan jalani kehidupan secara normal,” jelasnya.