Muktamar PAS Ke 65 Ditengah Kabut Politik Hanyir Nasional

619

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Negara ini suhu politiknya panas dengan aroma politik hanyir dan hancing memenuhi euforia panggung politik. Persaingan kuasa kepimpinan negara ini menatijahkan tampang hodoh, pejal dan mabuk kuasa yang sangat membimbangkan. Politik keji, pembunuhan karektor, Machiavelism, politik tanpa dosa dan pahala menyelimuti negara pasca 9 Mei 2018. Media arus perdana dan media sosial tanpa malu dan kalis api neraka memaparkan isu yang memualkan manusia yang waras. Dalam suasana politik kotor inilah, PAS akan melangsungkan Muktamar Tahunannya kali ke 65 di Kuantan Pahang.

Muktamar dengan adanya pemilihan ini sangat tenang dan harmoni, jawatan- jawatan penting jamaah tidak dipertandingkan. Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Dewan Pemuda, Ketua Dewan Muslimat, Ketua Dewan Ulama dan banyak jawatan penting sayap-sayap parti tidak dipertandingkan. Inilah wajah tulus harakatul ummah yang semakin matang membadai 68 tahun perjuangan, semenjak 1951. Muktamar kali ini juga berlangsung ditengah mood penyatuan ummah, PAS dan Umno yang secara tradisinya bertembung beberapa dekad kini bersila lutut, menggenggam tangan untuk mendepani kerajaan PH yang tidak mesra Syariah dan kaum Pribumi.

Tragedi 13 Mei melakar lanskap politik negara ini, dengan menyaksikan akhirnya Tunku Abdul Rahman telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan dengan Tun Abdul Razak. PAS berada dalam posisi strategik negara semasa berada dalam kerajaan campuran, melakukan islah yang berterusan. Figura penting PAS menggerakkan YADIM, menentang jualan minuman keras di cafe Parlimen, berjaya menghentikan iklan arak dalam media perdana negara, menggerakkan Islamisasi dalam pentadbiran, memperkasa pendidikan Islam, menggerakkan bulan dakwah serta pelbagai kejayaan lagi dalam memperkasakan agama.

Kemenangan PH dalam PRU 14 telah menyaksikan kontrak sosial yang cuba dirombak dan menggusarkan hati setiap muslim. PH yang didokong tenaga kempen kuasa Barat melalui IRI dan NGO-NGO liberal pragmatis terpaksa akur dan mengalah dengan tuntutan liberal pragmatis yanb merosakkan. Kemenangan PH telah menggebukan gerakan Evangelis, menyuburkan fahaman neo muktazilah (menafsirkan agama dengan rasional aqal), meranumkan fahaman Syiah , reinkarnasi komunisme serta membuncah tuntutan puak LGBT.

DAP yang mendominasi kerajaan PH tanpa segan silu memperlihatkan tampang wajah sebenar mereka. Seupaya mungkin melaksanakan cita-cita “Malaysian Malaysia” serta meroboh jatidiri Tanah Melayu. Parti-parti komponen dalam PH seperti PAN, BERSATU hanya dicucuk hidung, mereka tidak mempunyai kuasa tawar menawar. Lihatlah banyak polisi dan arahan kerajaan PH yang dibuat pusingan U , terutama segalanya mesti direstui oleh DAP. Ancaman masa depan kesatuan negara ini antaranya ialah usaha untuk mengadakan Pilihanraya PBT dan persempadanan semula kawasan pilihanraya, jika umat Islam leka dan tidak mengambil cakna urusan politik maka Umat Islam akan terperuk dipelbagai sektor. Hilang tanahair , mengalami perlecehan agama dan jatidiri muslim antara akibat tempoh jangkamasa panjang pemerintahan regim PH.

PH telah berjaya memanipulasi kebobrokan kerajaan sebelum ini dengan penglibatan besar-besaran avatar mereka di media sosial, anak-anak muda yang merupakan pengundi kali pertama tertipu dengan janji-janji muluk dalam manifesto PH. Terbukti selepas 100 hari pemerintahan PH, mereka tak mampu melaksanakan janji-janji PRU 14 dan ironisnya mereka nenyalahkan pihak lain pula akibat kedunguan mereka sendiri.

Kebejatan dan kegagalan kerajaan PH ini akan membuka ruang baru politik koalisi negara ini.Inilah yang paling ditakuti oleh DAP dan sekutu mereka, iaitu pemuafakatan strategik antara pembangkang dan gerakan swadaya pelbagai jalur pemikiran dan nuansa perjuangan. PAS diharapkan mengepalai arus deras kebangkitan rakyat negara ini, dengan rekod bersih parti Islam itu dalam pentadbiran. Satu-satunya parti yang tidak terlibat dengan amalan rasuah, mempunyai dua juta penyokong dan sejuta ahli, didokong oleh kelompok kelas nenengah masyarakat, ditunjangi oleh kepimpinan yang memiliki kompetensi yang piawai, terpandu dengan Majlis Syura Ulama.

PAS dalam setahun terakhir ini menerima keahlian baru yang ramai walaupun gerakan Islam tertua ini menerima fitnah bertali arus daripada segenap penjuru. Ahli-ahli baru ini dengan jumlah teramai daripada kalangan anak-anak muda ini adalah aset masa depan PAS, dengan erti kata lain, PAS mempunyai masa depan yang cerah. Semakin kuat PAS diterjang maka masyarakat akan terus menganalisi dan mengkaji tentang PAS. PAS menyediakan program kepada ahli dan masyarakat umum, berada dalam jamaah ini seolah disekolahkan semula untuk menjadi muslim yang baik dan berguna. Entiti PAS dengan pelbagai kaedah mendekati masyarakat menyumbang kepada massa, sektor kebajikan , pendidikan,amal tarbawi. Ada musibah maka Jabatan Amal dan entiti lain terus membantu dimedan operasi masyarakat.

Mendepani PRU 15 ini, jalan kemenangan semakin terbuka luas kepada PAS dan rakan pemuafakatan strategik . Dalam pontang panting kerajaan PH berhadapan carut marut rakyat akibat kegagalan menunaikan manifesto PRU, intriq dan polemik sesama parti komponen PH maka rakyat melihat satu koalisi baru pemuafakatan politik yang jauh lebih kompeten dan berwibawa. PAS memimpin perubahan dengan roh Agama.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)