Sekitar Muktamar PAS Pusat kali ke-57

464

– Gambar-gambar suasana Muktamar lihat di Buletinonline blog
KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan tetap meneruskan kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat dalam titik persamaan iaitu merealisasikan Negara Berkebajikan.

“Antara kesepakatan yang dicapai dalam membentuk Negara Berkebajikan adalah pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, tanpa meminggirkan hak kaum bumiputera.Layanan yang adil tetap akan diberikan kepada kaum lain yang juga miskin,” ujarnya dalam sidang media sejurus menyampaikan Ucapan Dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad,Taman Melewar, Gombak hari ini.

Pakatan Rakyat ujarnya, bersepakat bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan menerima sepenuhnya sistem Raja Berpelembagaan seperti sediakala tanpa sebarang isu jika ada pihak mahu merubahnya.

“Apa yang penting adalah pelaksanaan Negara Berkebajikan oleh PAS. Jika letak jenama saja tanpa pelaksanaan, maka tiada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan berdasarkan apa termaktub di dalam Al-Quran yang tidak menyebut negara Islam, tetapi disebut Negara Berkebajikan yang menunjukkan ianya diiktiraf dalam Islam,”

Oleh itu katanya, PAS lebih mementingkan perlaksanaan terlebih dahulu berbanding Negara Berkebajikan.

Menjawab persoalan mengenai kerjsama dengan Umno, beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS tetap tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam soal politik walaupun beberapa kali ditawarkan.

Menurutnya, PAS hanya bekerjasama dengan Umno dalam menghantar misi bantuan Palestin melalui kapal Marvi Marmara, menangani isu nuklear serta isu ekonomi dalam negara.

“Perpecahan tidak menjadi isu dalam PAS kerana kumpulan ulama dan bukan ulama telah ada sejak PAS ditubuhkan sejak dahulu lagi. Kewujudan kumpulan-kumpulan ini bukan bermaksud perpecahan telah berlaku tetapi sebenarnya kepelbagaian latarbelakang pengkhususan pimpinan PAS secara kolektif,” tegasnya dalam menjawab soalan isu perpecahan dalam PAS.

Ketika mengulas isu kenaikan harga barang, Ustaz Hadi menyifatkan tarif elektrik yang meningkat baru-baru ini telah menyebabkan penderitaan rakyat kerana elektrik, air bersih, pendidikan, dan kesihatan yang baik merupakan keperluan asas yang amat diperlukan rakyat.

“Kerajaan sepatutnya menanggung perbelanjaan bagi membekalkan keperluan asas ini kepada rakyat dan bukannya membebankan rakyat,” katanya lagi.

Menyentuh isu persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 pula, PAS ujarnya sedang berusaha sedaya upaya mahu memenangi undi orang melayu mahupun bukan melayu.

Terdahulu, dalam beberapa pilihanraya kecil yang melibatkan kawasan yang terdiri daripada pengundi bermaklumat samada melayu atau bukan melayu menunjukkan undian mereka memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat berbanding kawasan luar bandar yang mana sumber maklumatnya terhad.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali mengakui pengundi melayu yang tinggal di luar bandar masih belum mendapat maklumat sebenar mengenai PAS dan Pakatan Rakyat, sehingga menyebabkan mereka masih mengundi BN.

Justeru ujarnya, PAS akan bekerja dengan lebih giat bagi mengatasi masalah tersebut.

“Maklumat sebenar tentang PAS dan Pakatan Rakyat serta perjuangannya mesti sampai kepada rakyat di semua peringkat sama ada  di bandar mahupun luar bandar. Jentera  keseluruhannya kini akan lebih menumpukan kepada kaedah agar maklumat dapat disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat dan menjadikan penduduk luar bandar sebagai sasaran terutamanya pengundi Melayu,” ujarnya lagi. – Laman Rasmi Muktamar