Mukmin Yang Gagah Lebih Disayangi

396

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU – Seorang mukmin yang gagah perkasa lebih dikasihi daripada Allah, berbanding orang beriman yang lemah.

Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah berkata, orang Islam yang kuat, dapat melaksanakan, bukan sahaja ibadah wajib, bahkan amalan sunat juga.

Oleh itu katanya, temasya sukan Madrasah Darussalam diadakan adalah bertujuan untuk melahirkan anak-anak yang cergas dan cerdas.

“Pada masa yang sama Islam memerlukan (anak-anak) kita semua ini untuk menjadi penyelamat dan mempertahankan agama.

“Jika mahu mempertahankan agama kita mestilah sihat, kuat dan perkasa. Kita mesti terus istiqamah dengan Islam, beramal dengan Islam, dan jangan lupa tanggungjawab kita sebagai orang islam.” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan Madrasah Darussalam di padang bola Kampung Panji, semalam.

Seramai kira-kira 500 orang murid sekolah rendah Islam itu, memeriahkan pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.