Mujahid Siber Perlu Membina Jaringan Menguatkan Islam

516

Oleh : Adli Mohamad

KEMAMAN – Para pengamal media sosial terutamanya mereka yang merupakan Mujahid Siber digesa agar membina jaringan bagi memperkuatkan Islam.

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, jangan gunakan saluran tersebut untuk meruntuhkan kumpulan Islam yang baik.

“Kita jangan gunakan siber ini untuk meruntuhkan ummah yang sedang mara menuju kemuliaan dan kehebatan.

“(Dan) jangan kita gunakan untuk memecahkan ummah, tetapi sepatutnya kita jadikan satu jaringan yang akan membina kekuatan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan berkata demikian ketika merasmikan Program Ijtimak Siber Malaysia 2019 “Jaringan Siber : Membina Kehebatan Ummah Di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman semalam, 16 Februari.

Menurutnya, mujahid siber haruslah meneladani kisah serangga kecil seperti labah-labah, walaupun lemah tetapi tetap membina sarang yang mana menjadi penyelamat Rasulullah.

“Biarlah kita menjadi labah-labah (seumpama) kumpulan Islam yang menjaga kerajaan Islam dan akan bina kehebatan ummah ini.

“Jadi pembina, jangan jadi peruntuh (Islam) dan semoga kita selamat di dunia dan selamat di akhirat,”ujarnya.