Muafakat Nasional Pertahan Lima Perkara Asas

313

KUALA TERENGGANU – Lima perkara asas yang perlu diperjuangkan oleh semua umat Melayu Islam dalam mempertahankan penubuhan negara ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, kerjasama antara PAS dan Umno mempunyai titik persamaan akidah dan darah keturunan.

Katanya, kedua-dua parti yang terbesar itu telah pun berjaya adakan satu pakatan yang dinamakan sebagai taawun siyasi atau dikenali sebagai Muafakat Nasional.

“(Ia) demi untuk mempertahankan keluruhan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan tetapi perlembagaan ini sudah mula nampak dicabul.

“Yang kedua untuk mempertahankan ketuan Melayu yang menjadi penduduk asal negara ini, inipun juga semakin hari semakin cabar,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah peringkat Negeri Terengganu disini, semalam.

Prinsip yang ketiga, kata beliau, Muafakat itu adalah untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja yang menjadi tunjang kepada ketuan negara.

“Ini juga telah diperlekeh dan dihina oleh sebahagian rakyat dalam negara ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, taawun PAS-Umno adalah untuk mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu yang telah dijamin oleh perlembagaan negara.

“Yang kelima mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara ini,”ujar beliau.

Menurutnya, kerjasama PAS dan Umno pernah berlaku sebelum ini ketika kedua-dua perti itu berjuan untuk menuntut kemerdekaan negara.

“PAS dan Umno pernah bersatu bekerjasama menuntut supaya meletakkan peruntukan dalam perlembagaan negara, Islam sebagai agama negara.

“Dan PAS telah bersatu dan bergabung dan bekerjasama dengan Umno dalam menghadapi ancaman komunis yang mengancam kedaulatan negara ini,” katanya.

Justeru itu beliau mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS di semua peringkat melahirkan sokongan padu terhadap taawun dan penyatuan ini.

“Demi mendaulatkan Islam dan demi kedaulatan raja-raja melayu yang menjadi tunjang kepada tegaknya negara Malaysia tanah air tercinta ini,’ tegas beliau lagi.