Muafakat Nasional Lahirkan Masyarakat Madani

189

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN – Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang menggagaskan Muafakat Nasional bakal mewujudkan masyarakat madani di negara ini

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Terengganu, Ustaz Zulkhairi Ngah berkata ia adalah satu pendekatan dakwah yang baik oleh pemimpin Islam untuk dicontohi oleh masyarakat.

“Hal ini bukan sahaja dapat membuka mata semua pihak untuk berubah ke arah kebaikan, bahkan ia sekaligus sudah menyuntik elemen tarbiah ahli kita (PAS) itu sendiri.
Dengan pemikiran yang terbuka dan ilmu yang ada dalam diri, maka kita boleh menimbulkan pemikiran yang rasional akan penyatuan ummah ini,” ujarnya.

Di samping itu juga, ia membuktikan mahalnya agama Islam itu yang mampu mendidik jiwa manusia dengan ayat-ayat Allah.

“Mereka (UMNO) sudah menggambarkan kesudiannya untuk berjabat tangan dengan kita iaitu cenderung kepada perdamaian,

“Maka Allah perintahkan untuk kita sahut atau terima kecenderungan itu dan kita terima sahutan itu kemudian hendaklah kita bertawakal (berserah) kepada Allah,” ujarnya.

Oleh itu katanya, orang ramai tidak perlu berasa gusar dan syak wasangka dengan usaha murni pemimpin PAS menyatukan umat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Liqa’ Fikri yang bertajuk Taawun Siyasi Penyatuan Ummah di Pusat Tarbiyyah Dan Kafa (PUSTAKA), Taman Permint Indah, Dungun Terengganu pada 6 Oktober.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua pihak terutamanya golongan muda agar meningkatkan ketakwaan kerana ia akan menghasilkan kejayaan.

“Ambillah peluang di zaman pemuda ini dengan mencari ketakwaan kepada Allah dan sebelum habis zaman pemuda berusahalah untuk memiliki kejayaan di sisi Allah dalam semua perkara termasuk politik negara,” katanya.